GEORGE TOWN, 6 Dis (Bernama) -- Satu lorong di Jalan Batu Ferringhi berhampiran Moonlight Bay yang ditutup sementara sebelum ini berikutan rekahan dan mendapan pada jalan, kini dijangka ditutup sehingga 31 Disember, menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari.
Beliau berkata kerja-kerja paku tanah (soil nailing) telah selesai dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik, namun pemeriksaan lanjut mendapati terdapat beberapa bahagian jalan yang masih memerlukan pengukuhan tambahan sebelum dibuka semula kepada pengguna.
“Semua langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya. Tempoh penutupan dan pelaksanaan kerja juga tertakluk kepada keadaan cuaca serta keadaan tapak semasa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan penutupan lorong tersebut sehingga 30 Nov bagi memberi laluan kepada kerja-kerja baik pulih dan kerja berkaitan oleh kontraktor dilantik Jabatan Kerja Raya Daerah Timur Laut.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memaklumkan tempoh penutupan sebelah jalan dari Mar Vista hingga penghujung Apartment Mahligai Baiduri di Jalan Batu Ferringhi dilanjutkan bermula 8 Dis hingga 15 Dis, tidak termasuk Sabtu dan Ahad.
MBPP menjelaskan penutupan itu bagi kerja-kerja penyelenggaraan pokok yang dijalankan sejak 1 Dis hingga 7 Dis, dan lanjutan tempoh disebabkan peningkatan bilangan kenderaan serta kawalan trafik di tapak bagi mengurangkan kesesakan.
“Penutupan dijadualkan dari 9 pagi hingga 4.30 petang, namun jalan dibuka semasa waktu rehat, iaitu 12.30 tengah hari hingga 2 petang sepanjang tempoh itu,” menurut hantaran rasmi MBPP di Facebook.
-- BERNAMA
