Oleh Amanina Mohamad Yusof
PUTRAJAYA, 6 Dis (Bernama) -- Program pertukaran topi keledar yang diadakan sempena Program Rancakkan MADANI di sini, menjadi platform meningkatkan kesedaran dalam kalangan penunggang motosikal mengenai keselamatan jalan raya.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata pihaknya sedar ramai penunggang dan pembonceng motosikal masih menggunakan topi keledar lama yang tidak mengikut spesifikasi keselamatan ditetapkan.
“Ini menjadi kerisauan di pihak kami, kerajaan khususnya JPJ, kerana topi keledar yang tidak mematuhi spesifikasi akan membahayakan pengguna jalan raya serta memberikan risiko tinggi kepada penunggang sekiranya berlaku kemalangan,” katanya kepada Bernama ketika membuat tinjauan pelaksanaan program itu di sini hari ini.
Aedy Fadly berkata sebanyak 5,000 topi keledar disediakan sepanjang tiga hari Program Rancakkan MADANI yang bermula semalam di Dataran Putrajaya di sini, dan setakat hari ini lebih 3,000 unit telah ditukar daripada topi keledar lama.
“Program pertukaran topi keledar percuma dibuat sempena sambutan tiga tahun Kerajaan MADANI, dan JPJ merupakan satu daripada agensi terlibat secara langsung bagi menawarkan topi keledar baharu berkualiti tinggi kepada semua pengunjung yang hadir ke program ini.
“Mereka yang berminat kena datang ke kaunter program pertukaran helmet. Mereka perlu membawa MyKad dan topi keledar lama, kemudian kita akan bagi kupon berdasarkan kepada siapa cepat dia dapat, macam hari ni saya dimaklumkan seawal 7 pagi dah ada yang beratur untuk dapatkan kupon, sedangkan kaunter mula dibuka 9 pagi,” katanya.
Selain program pertukaran topi keledar, JPJ turut membuka pendaftaran awal bagi program MyLesen B2 tahun depan, yang menawarkan peluang mendapatkan lesen motosikal B2 secara percuma kepada mereka yang layak.
Aedy Fadly berkata kuota peserta bagi progam itu bergantung kepada peruntukan kerajaan tahun hadapan, namun beliau memaklumkan persiapan telah dilaksanakan di semua pejabat di seluruh negara untuk melaksanakan program itu.
“Selepas peruntukan disahkan, kita akan terus menjemput individu yang melepasi saringan untuk menyertai program ini,” katanya, sambil menambah kira-kira 25,000 orang telah menerima manfaat daripada program MyLesen B2 tahun ini.
Program Rancakkan MADANI menampilkan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga dan pelbagai tawaran istimewa untuk orang ramai.
Program berskala nasional anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu menyasarkan kehadiran 300,000 pengunjung dan berlangsung pada 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, manakala 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan pada 11 pagi, esok.
-- BERNAMA
