Oleh Nurul Hanis Izmir
PUTRAJAYA, 6 Dis (Bernama) -- Malaysia perlu kekal konsisten melaksanakan agenda reformasi MADANI bagi memastikan negara terus berdaya saing dan kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
Beliau berkata meskipun pelbagai kejayaan telah dicapai di bawah rangka ekonomi MADANI dan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), masih terdapat ruang besar untuk penambahbaikan sekali gus menuntut komitmen berterusan seluruh jentera kerajaan.
“Baik Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mahupun Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar) sedar bahawa walaupun kita dah mencapai beberapa kejayaan, masih banyak lagi yang perlu dilaksanakan. Rangka ekonomi MADANI juga menunjukkan ada beberapa sasaran yang belum tercapai, jadi agenda pembaharuan ini perlu diteruskan.
“ … terus komited kepada reformasi MADANI supaya Malaysia akan menjadi lebih berdaya saing, lebih makmur dan akhirnya meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya kepada Bernama di sela-sela Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata sejumlah 323 projek RKB yang telah disiapkan, iaitu peningkatan sebanyak 182 projek sebelum ini dan berjaya menjimatkan kos pematuhan lebih RM2.01 bilion setahun.
Ini hasil daripada lebih 1,007 projek RKB yang didaftarkan di seluruh negara, dengan 323 projek telah berjaya disiapkan.
“Banyak inisiatif telah mengurangkan masa kelulusan, memudahkan bilangan langkah dalam sesuatu proses, dan mempercepat perkhidmatan kerajaan. Antara yang ditekankan ialah digitalisasi seperti yang sentiasa disebut Perdana Menteri,” katanya.
Di Kementerian Kewangan sendiri, beliau berkata beberapa proses sedang dipermudah termasuk memendekkan tempoh tuntutan wang tidak dituntut dan mempercepat urusan di pintu masuk kastam.
Johan berkata pendekatan digital turut membolehkan pelaksanaan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Budi MADANI RON95 (BUDI95) secara lebih tepat, mengurangkan ketirisan subsidi dan memastikan penjimatan dapat diagihkan semula kepada program yang memberikan manfaat langsung kepada rakyat.
Mengulas kesan reformasi terhadap keyakinan pasaran, Johan berkata usaha pembaharuan kerajaan termasuk RKB, pembaharuan fiskal dan penegasan terhadap tadbir urus telus telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kepercayaan pelabur.
“Ini jelas ditunjukkan melalui pengukuhan ringgit lebih lapan peratus lebih tinggi berbanding dolar AS tahun ini, antara prestasi terbaik di Asia.
“KSN juga menyebut peningkatan kedudukan Malaysia dalam World Competitiveness Ranking, naik 11 anak tangga daripada 34 ke 23. Prestasi pelaburan yang diluluskan tahun lepas sebanyak RM380 bilion, dan momentum tahun ini juga kekal kukuh dan ini semua antara hasil usaha pembaharuan MADANI termasuk RKB,” katanya.
Ditanya mengenai keutamaan seterusnya dalam reformasi kerajaan, Johan berkata hala tuju Malaysia kini jelas memastikan pembaharuan tidak terhenti separuh jalan.
“Kita dah nampak hasilnya, tapi perjalanan masih panjang. Selagi kita kekal pada landasan reformasi MADANI, insya-Allah Malaysia akan menjadi lebih berdaya saing, lebih makmur dan rakyat akan menikmati hasilnya,” katanya.
Johan turut mengucapkan selamat ulang tahun ketiga kepada Kerajaan MADANI, sambil menyifatkan penganjuran Program Rancakkan MADANI sebagai platform penting untuk mendedahkan rakyat kepada pelbagai perkhidmatan, inisiatif dan kemudahan kerajaan.
“Tahun ini saya lihat lebih banyak pengisian, banyak aktiviti untuk keluarga. Ini penting kerana kadangkala kami dalam kerajaan mungkin kurang cekap untuk mewawarkan program, kemudahan dan penambahbaikan yang dibuat.
“Jadi, program seperti Rancakkan MADANI dan forum seperti ini sangat membantu menyebarkan amalan terbaik serta pembaharuan terkini untuk kemudahan rakyat,” katanya.
Program Rancakkan MADANI selama tiga hari bermula semalam menampilkan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga dan pelbagai tawaran istimewa kepada orang ramai.
Program berskala nasional itu anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), menyasarkan 300,000 pengunjung dan berlangsung dari 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, manakala 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan pada 11 pagi, esok.
-- BERNAMA
