AM

BAKUL KEMBARA PERPADUAN CERIAKAN PIKNIK PERPADUAN MADANI, UKIR SENYUMAN DI WAJAH PENGUNJUNG

06/12/2025 07:24 PM

Oleh Norhayati Mohd Akhir

PUTRAJAYA, 6 Dis (Bernama) -- Senyuman dan tawa jelas terukir di wajah pengunjung apabila menerima Bakul Kembara Perpaduan yang sarat dengan makanan, minuman dan buah-buahan selain tikar plastik untuk aktiviti bersantai bersama keluarga dan rakan pada program Piknik Perpaduan MADANI di Pekarangan Dataran Putrajaya, di sini hari ini.

Inisiatif julung kali Kementerian Perpaduan Negara (KPN) itu menyasarkan ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah di Tabika Perpaduan sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, sekali gus memanfaatkan cuti sekolah.

Pengunjung dari Kajang, Muhammad Hafiez Hamzah, 36, berkata beliau mula beratur pada 4.30 petang selepas mengetahui mengenai penganjuran piknik itu melalui Facebook KPN.

“Dalam bakul ada bihun goreng, nugget, kuih-muih, air mineral, epal serta tikar berkelah. Ini kali pertama saya datang program seperti ini dan dapat bakul berkelah yang lengkap, macam-macam ada. Memang seronok,” katanya ketika ditemui Bernama.

Turut berkongsi keterujaan, Ummu Mubarakah Arkom Somnas, 31, menyifatkan bakul berkenaan sebagai inisiatif yang sangat menceriakan penerima selain mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam suasana santai.

“Anak-anak saya seronok sebab dapat makanan percuma. Mereka suka ayam goreng, dalam bakul ini ada ayam goreng untuk dimakan dengan bihun goreng,” katanya yang meluangkan masa bersama lapan anak untuk hadir ke program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam.

Sementara itu, Nurul Aini Abd Hamid, 43, dari Dengkil, berkata beliau datang bersama suami dan anak-anak selepas mengetahui mengenai program itu menerusi perkongsian di kumpulan WhatsApp Tabika Perpaduan anaknya.

“Ini kali pertama saya datang program macam ini dan pertama kali dapat bakul percuma yang lengkap dengan makanan, minuman, buah serta tikar. Kami bawa makanan juga, tapi bila dapat bakul ini, tidak perlu keluarkan makanan yang dibawa dari rumah,” katanya.

Beliau turut memuji kelancaran pengurusan program kerana proses pengambilan bakul mengambil masa singkat walaupun kawasan pengedaran dikerumuni pengunjung.

“Beratur sekejap sahaja, dah sampai giliran kami, pegawai bertugas semak nama kami dan terus dapat bakul. Layanan pun sangat baik,” katanya.

Piknik Perpaduan MADANI menampilkan pendekatan santai berteraskan kebersamaan, dengan Bakul Kembara Perpaduan menjadi antara tarikan utama dalam usaha menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai lapisan.

Program anjuran KPN itu bukan sahaja mengukuhkan hubungan sesama masyarakat malah ikatan kekeluargaan dan nilai MADANI dalam kehidupan seharian.

Program Rancakkan MADANI selama tiga hari bermula semalam menampilkan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga serta pelbagai tawaran istimewa.

Program berskala nasional anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu menyasarkan kehadiran kira-kira 300,000 pengunjung, bermula 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, serta dari 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menyempurnakan majlis penutup pada 11 pagi, esok.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan