AM

PELAJARI SENI BUSANA TRADISIONAL, CUCI EMAS DI RERUAI KEMENTERIAN PERPADUAN NEGARA

06/12/2025 05:51 PM

PUTRAJAYA, 6 Dis (Bernama) -- Segmen Ukhuwah Rakyat MADANI di bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN) pada Program Rancakkan MADANI di sini membawa pengunjung mendalami seni busana tradisional antaranya mengenai teknik membuat tanjak dan menggayakan pemakaian kain samping.

Tinjauan Bernama mendapati pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak tidak melepaskan peluang mencuba teknik menghasilkan tanjak tradisional menggunakan kain songket yang disediakan di reruai KPN.

Turut menjadi tumpuan adalah khidmat mencuci emas secara percuma yang mengambil masa kurang lima minit serta aktiviti melukis potret secara digital di reruai itu. 

Tenaga pengajar bagi aktiviti seni busana tradisional Mohamad Johari Alfawaris berkata aktiviti membuat tanjak menerima sambutan menggalakkan sejak hari pertama Program Rancakkan MADANI berlangsung.

“Kita ambil masa 30 minit untuk ajar cara membuat tanjak, Alhamdulillah ramai yang berminat,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Mohd Syahrizal Zoljefry dari Bangi, Selangor berkata beliau teruja dapat mencuba aktiviti membuat tanjak daripada individu yang mahir.

“Memang saya tidak pernah cuba buat tanjak, biasanya buat bunga samping tradisional. Tak sangka juga mereka berikan tanjak yang dihasilkan untuk dibawa balik. Memang puas hati hadir di reruai ini ,” katanya.

Program Rancakkan MADANI selama tiga hari bermula hari ini, menampilkan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga dan pelbagai tawaran istimewa kepada orang ramai.

Program berskala nasional anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu menyasarkan kehadiran 300,000 pengunjung dan berlangsung dari 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, manakala 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan pada 11 pagi esok.

Program Rancakkan MADANI ialah kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI yang menjadi tradisi pelaporan tahunan kerajaan secara langsung kepada rakyat.

Serentak dengan program itu, turut berlangsung Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 yang menghimpunkan pemikir dasar dalam kalangan penjawat awam serta pemain industri.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan