JASIN, 6 Dis (Bernama) -- Jalinan ukhwah antara pesara Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) dengan petugas agensi ini terjalin melalui aktiviti ziarah oleh Bernama Motorcycle Club (BMC).
Bagi Ishak Desa, 67, yang mengidap penyakit buah pinggang kronik (CDK), tulang reput serta kencing manis, sungguh terharu dengan kehadiran 32 ahli kelab BMC di rumahnya di Taman Kesang Indah di sini.
"Silaturahim antara saya dengan staf lain di Bernama sehingga hari ini kekal baik, macam adik-beradik malah kami sentiasa berhubung melalui group WhatsApp. Untuk ziarah dan sumbangan hari ini, saya amat berterima kasih kerana bukan sebab barang yang terima tetapi ingatan yang masih ada terhadap pakcik.
"Lebih terharu sebab sampai sekarang, jika ada kawan-kawan lama yang datang ke Melaka, mereka akan menziarahi saya dengan keluar minum di kawasan berhampiran kerana kalau hendak memandu jauh, memang tidak kuat sebab ada penyakit buah pinggang," katanya kepada Bernama.
Meskipun terpaksa menjalani dialisis tiga kali seminggu, Sahak yang berasal dari Perlis tetap aktif dengan pelbagai kegiatan harian dan mengakui merindui kerjanya sebagai pemandu di Bernama selepas bersara pada 2019.
Mengimbau kenangan ketika berkhidmat di Unit Kenderaan Bernama, beliau berkata walaupun ketika itu pendapatan tidak seberapa tetapi dia tetap gembira bertugas, malah pernah ditawarkan jawatan dan bahagian lain namun ditolak.
Dalam pada itu, Presiden BMC Amrizan Madian berkata acara ziarah yang dilakukan setiap tahun sejak 2023 itu, adalah antara semangat “Two Wheels, One Soul” yang menjadi jambatan buat ahli BMC mengekalkan silaturahim dengan petugas yang pernah menabur budi dan khidmat di Bernama.
"Ini peluang untuk kami bertanya khabar dan bertemu dengan pesara-pesara Bernama serta mengetahui perkembangan terkini mereka.
"Kita juga membawa sedikit sumbangan dan bagi ziarah di Melaka, kita menziarah dua pesara dan sebuah rumah anak yatim. Kita harapkan ziarah ini akan terus merapatkan hubungan antara BMC dan orang-orang lama Bernama," katanya.
-- BERNAMA
