AM

KERAJAAN PERSEKUTUAN AKAN TERUSKAN PERBINCANGAN DENGAN KERAJAAN TERENGGANU, FELDA - FAHMI

06/12/2025 08:10 PM

PUTRAJAYA, 6 Dis (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan akan meneruskan perbincangan bersama wakil Kerajaan Negeri Terengganu dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) untuk mencari penyelesaian dalam isu pertikaian 10 ladang FELDA dan FGV Holdings Berhad (FGV) di negeri itu.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata keperluan perbincangan itu disetujui oleh semua pihak semasa mesyuarat antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican dan Setiausaha Kerajaan Terengganu Datuk Zulkifli Ali, semalam. 

“Jadi kita turuti proses itu sebelum kita buat apa-apa keputusan. Mungkin pada mesyuarat Jemaah Menteri akan datang, ada beberapa perkara yang akan dibangkitkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), tetapi setakat petang semalam pertemuan tersebut telah berlangsung dan perbincangan akan diteruskan,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Mega Kempen Internet Selamat 2025 di Pusat Pameran dan Konvensyen IOI City Mall, di sini hari ini. 

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Abdul Karim Fakir Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin. 

Dalam pada itu, Fahmi berkata buat masa ini tiada perbincangan melibatkan kerajaan negeri dan Jemaah Menteri berhubung perkara berkenaan. 

Pada Ahad lepas, kerajaan Terengganu mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah diusahakan FELDA di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar di negeri itu, selepas mendakwa selama lebih 40 tahun tanah berkenaan diteroka tanpa pembayaran premium, cukai atau perkongsian keuntungan.

Penyerahan notis dilakukan serentak kepada pihak pengurusan ladang di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan