AM

KEMUDAHAN, INFRASTRUKTUR JETI PELANCONGAN PERLU DISELENGGARA - JAFRY

07/12/2025 07:04 PM

KOTA KINABALU, 7 Dis (Bernama) -- Beberapa kemudahan dan infrastruktur jeti pelancongan sekitar bandar raya ini memerlukan penyelenggaraan segera bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan pelancong, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin.

Jafry yang mengadakan lawatan ke beberapa jeti pelancongan berkenaan hari ini berkata keadaan itu tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia turut membabitkan keselamatan dan kebajikan pegawai serta petugas di kawasan konservasi pelancongan.

“Hal ini adalah isu keselamatan dan saya mahu tindakan segera. Petugas di pulau-pulau juga perlu mempunyai penempatan selamat dan kondusif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lawatan berkenaan antaranya di Jesselton Point, Jeti Taman-Taman Sabah serta South Jetty milik Suria Capital yang sedang dalam proses pembinaan dengan kos dianggar RM20 juta.

Jafry turut meninjau keadaan Pulau Sulug termasuk kuarters petugas Taman-Taman Sabah yang didapati uzur, rosak dan memerlukan tindakan segera.

“Perkara ini akan diperincikan segera bersama kementerian untuk tindakan susulan dan penyelesaian jangka panjang. Kementerian akan terus memantau serta menambah baik fasiliti pelancongan di negeri ini bagi memastikan Sabah kekal sebagai destinasi pelancongan utama negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan