Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Harga minyak susut daripada paras tertinggi sejak 2022 kepada kurang US$100 setong pada Selasa selepas negara-negara Kumpulan Tujuh (G7) membayangkan kesediaan melepaskan stok simpanan kecemasan.
Perkembangan itu sekali gus meredakan sebahagian kebimbangan pasaran susulan konflik Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang makin meruncing.
Setakat tengah hari ini, harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global susut 6.33 peratus kepada US$93.08 setong manakala West Texas Intermediate (WTI) turun 6.39 peratus kepada US$88.71 setong.
Semalam, minyak mentah Brent melonjak sehingga mencecah US$119.50 setong, paras tertinggi sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022.
WTI yang juga penanda aras bagi minyak mentah ringan AS, turut melonjak ke paras kira-kira US$119.48 setong sebelum kedua-dua minyak berkenaan kemudiannya turun ke bawah paras US$100 setong.
Pasaran turut goyah apabila konflik AS dan Israel dengan Iran berpotensi menjejaskan pengeluaran minyak serta laluan perkapalan di Asia Barat yang hanya menyemarakkan lagi kebimbangan mengenai bekalan tenaga global.
Kebimbangan itu diburukkan lagi selepas Iran bertindak menamakan Mojtaba Khamenei untuk menggantikan ayahnya, Ali Khamenei sebagai pemimpin agung yang hanya memaparkan tentangan berterusan Iran di tengah-tengah bedilan berterusan dilancarkan oleh AS dan sekutunya, Israel.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata keadaan pasaran reda seketika pada masa ini sehingga kejutan geopolitik seterusnya susulan kenyataan Presiden AS Donald Trump serta rancangan luar jangka G7 yang membantu mengurangkan risiko konflik menjadi lebih berleluasa.
Bagaimanapun, beliau berkata ketegangan berkaitan struktur asas Selat Hormuz kekal buntu.
Innes berkata susulan lonjakan harga semalam, harga minyak berkemungkinan cenderung meningkat sebelum susut akibat pembetulan teknikal ketika peniaga terus bergelut mencari titik harga yang seimbang.
“Pada masa ini, tindakan ini lebih kepada untuk mengimbangi dua faktor -- jumlah bekalan minyak yang terjejas berikutan gangguan aliran biasa berbanding penurunan premium risiko geopolitik apabila naratif konflik bakal berakhir, kian reda.
“Namun, perkara utama adalah (hakikat) keadaan yang masih belum berubah. Kita masih dalam keadaan perang sehingga gencatan senjata dapat dicapai atau ada pihak yang bersedia untuk mengaku kalah.
“Ringkasnya, pasaran mungkin tenang sekarang, tetapi ini masih belum muktamad,” katanya kepada Bernama.
Ketidaktentuan harga minyak turut memberi impak ke atas Bursa Malaysia semalam apabila indeks petunjuk utama FBM KLCI susut 43.89 mata atau 2.56 peratus untuk ditutup pada 1,674.17 daripada 1,718.06, Jumaat lepas.
Bagaimanapun, indeks utama itu kembali melantun pada sesi dagangan awal hari ini selepas Trump membayangkan konflik dengan Iran bakal berakhir tidak lama lagi.
Sementara itu, barisan Menteri Kewangan G7 dan Pengarah Eksekutif Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) Fatih Birol mengadakan sidang video semalam untuk membincangkan ketidaktentuan pasaran yang ketara.
Susulan mesyuarat itu, Birol berkata keadaan pasaran terjejas sejak beberapa hari lepas, malah penggiat turut meneliti pilihan yang ada, termasuk kemungkinan potensi melepaskan simpanan kecemasan minyak IEA jika perlu.
Negara-negara anggota IEA juga dijangka mengealkan simpanan minyak menyamai sekurang-kurangnya 90 hari import bersih bagi memastikan tindak balas lebih selaras terhadap gangguan pasaran minyak global yang serius.
Dalam pada itu, BMI yang juga unit Fitch Solutions, menyatakan langkahnya untuk menyemak semula prospek minyak mentah Brent bagi 2026 susulan perkembangan terkini, termasuk menjangkakan penilaian semula yang lebih tinggi ke atas unjuran purata tahunan semasa pada US$67 setong.
“Berdasarkan tinjauan awal data, sebarang semakan semula dalam julat US$70 hingga US$75 setong adalah konsisten dengan senario yang kami jangkakan.
“(Sebaliknya) jika keadaan beralih kepada senario lebih tinggi apabila perang berlanjutan selama beberapa bulan, semakan lebih besar ke atas julat US$80 hingga US$90 setong adalah sesuatu yang dijangkakan,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.
-- BERNAMA
