SUKAN

MASA DEPAN E-SUKAN MALAYSIA AMAT CERAH - AHMAD ZAHID

08/12/2025 12:42 AM

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  menyifatkan masa depan e-sukan Malaysia amat cerah selepas menyaksikan negara muncul juara Kejohanan Dunia IESF Mobile Legends: Bang Bang 2025, di sini malam ini.

Beliau berkata selain Malaysia menganjurkan kejohanan e-sukan bertaraf dunia, pasukan negara juga berulang kali muncul juara pada peringkat antarabangsa sekali gus mengangkat reputasi Malaysia sebagai hab e-sukan.

Ahmad Zahid berkata industri e-sukan negara akan terus diperkukuh dengan sokongan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau berkata institusi TVET seperti GiatMARA dan Institut Kemahiran MARA (IKM) menyediakan latihan khusus dalam bidang itu, selain usaha Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang menawarkan subjek pembangunan kandungan e-sukan.

“Masa depan e-sukan sangat cerah di Malaysia kerana kita tahu TVET akan terus mengadakan program khusus untuk e-sukan.

“… yang penting bukan hanya atlet yang terlibat (dalam e-sukan) tetapi ia harus dijadikan sebagai satu industri, iaitu industri kandungan (content) kepada e-sukan ini,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan final antara pasukan Malaysia dan Kemboja.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim.

Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada pasukan Malaysia yang berjaya menewaskan Kemboja 3-0.

Malaysia mempertahankan gelaran juara dunia selepas memenangi kejohanan itu pada perlawanan akhir Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) di Quill City Mall, di sini malam ini.

Pasukan Malaysia dibarisi oleh Hazziq ‘Stormie’ Rizwan, Idreen ‘Momo’ Jamal, Muhammad ‘Yums’ Suhairi, Muhammad ‘Sekysss’ Zaman dan Ealton ‘loleal’ Rayner.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan