AM

TABUNG LEGASI KOMUNITI TUNKU DIWUJUDKAN DENGAN SUMBANGAN RM1 JUTA

08/12/2025 02:31 PM

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) hari ini mengumumkan penubuhan Tabung Legasi Komuniti Tunku, hasil sumbangan awal berjumlah RM1 juta daripada seorang individu.

Menurut kenyataan KPN, penderma yang merupakan rakyat tempatan itu memilih untuk tidak dikenali. Beliau lahir pada era 1940-an di Pahang dan dibesarkan oleh ibu tunggal, melalui zaman sukar termasuk terpaksa tidur di lantai kedai serta berkongsi bilik sepanjang tempoh pengajian di Universiti Malaya (UM).

Bagaimanapun, dengan sokongan masyarakat, beliau berjaya menamatkan pengajian sebelum berkhidmat sebagai penjawat awam. 

“Tidak pernah melupakan jasa semua pihak yang membantunya, beliau telah mewasiatkan sumbangan bernilai RM1 juta kepada YTAR sebelum meninggal dunia bagi menyokong generasi muda yang berpotensi tetapi berdepan kekangan kewangan untuk meneruskan pengajian,” menurut kenyataan itu. 

Menurut kementerian dana tersebut membolehkan YTAR menaja tujuh penerima biasiswa pada 2025 terdiri daripada pelajar pelbagai latar belakang yang berkongsi aspirasi membina masa depan lebih cerah. 

Antara penerima ialah Muhammad Ariff Shuqran Ismail, anak muda dari Perlis yang pernah menangguhkan pengajian selama enam tahun sebelum menyambung pengajian di UM, serta Chew Cai San, pelajar Orang Asli yang kini mengikuti kursus Perguruan dengan Bimbingan dan Kaunseling di Institut Pendidikan Guru Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata penubuhan tabung ini bertepatan dengan ulang tahun ke-35 pemergian Almarhum Tunku Abdul Rahman, sekali gus menjadi penghormatan kepada legasi Bapa Kemerdekaan yang sinonim dengan sifat pemurah dan kepedulian terhadap rakyat.

Beliau berkata semangat memberi dan budaya saling menyokong telah lama menjadi kekuatan rakyat Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi YTAR Datin Seri Sharifah Menyalara Hussein, yang juga cucu Tunku Abdul Rahman, berkata sumbangan tersebut mengingatkannya kepada semangat memberi arwah datuknya yang terkenal dengan kemurahan hati sepanjang hayat.

“Legasi penderma ini akan terus hidup melalui tujuh penerima pertama dana ini, sekali gus memberi impak yang melangkaui komuniti mereka,” katanya.

KPN turut menggalakkan lebih ramai rakyat mempertimbangkan pemberian legasi bagi memastikan lebih ramai anak muda berpotensi dapat meneruskan pengajian tanpa halangan kewangan.

Sumbangan kepada Tabung Legasi Komuniti Tunku dibuka sepanjang tahun dan orang ramai yang ingin menyumbang atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi contactus@yayasantar.org.my.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan