PUTRAJAYA, 8 Dis (Bernama) -- Ombudsman Malaysia akan ditubuhkan dengan mandat yang lebih luas untuk memperkukuh integriti dan ketelusan sektor awam negara.
Perkara itu dipersetuju dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Negara (JKKTN) 2025 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan cadangan itu merangkumi fungsi salah tadbiran, salah laku, perlindungan pemberi maklumat serta kebebasan maklumat yang mengutamakan kepentingan dan hak rakyat untuk mengajukan aduan bagi penambahbaikan perkhidmatan dan mengekalkan tahap integriti tinggi sektor awam.
"Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman ini akan dibentangkan di Parlimen pada awal tahun depan," menurut SPRM dalam kenyataan hari ini.
Menurut SPRM, mesyuarat itu turut membincangkan empat substrategi dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) yang perlu diberi tumpuan supaya dapat dilaksanakan mulai 2026.
"Substrategi itu ialah sistem perolehan bersepadu dikenali sebagai Sistem Perolehan Digital (Sistem d.Pro) oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan penggubalan RUU Kebebasan Maklumat untuk orang awam mengakses maklumat kerajaan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM)," menurut kenyataan itu.
Dua lagi substrategi ialah pelaksanaan i-Kad secara digital melalui National Integrated System (NIIse) dalam modul Pas Pelajar sebagai pengenalan diri bagi pelajar asing oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan menggalakkan insentif cukai dalam kalangan syarikat yang mendapat akreditasi Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) MS ISO 37001 oleh Jabatan Standard Malaysia (JSM).
Menurut SPRM, mesyuarat itu juga menyambut baik cadangan penggubalan undang-undang baharu bagi mengawal selia Perusahaan yang Dimiliki atau Dikawal oleh Kerajaan (SOE) termasuk anak syarikat di bawah badan berkanun.
"Melalui perundangan ini, penubuhan dan laporan SOE hendaklah dibentangkan di Parlimen bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban," menurut kenyataan itu.
SPRM memaklumkan usaha itu adalah bagi meningkatkan pematuhan korporat supaya syarikat yang mengurus dana awam melaksanakan mandat obligasi sosial berdasarkan standard tatakelola baik di bawah kerangka undang-undang lebih berstruktur.
"RUU SOE ini akan dibentangkan di Parlimen pada akhir 2026," menurut kenyataan itu.
Mengenai Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) yang dilancarkan Jumaat lepas, SPRM memaklumkan ia adalah inisiatif nasional untuk membudayakan integriti sektor awam yang dijadikan mekanisme wajib menilai tahap integriti dan tatakelola agensi sektor awam.
SPINE merupakan sistem alternatif kepada ABMS yang tidak membebankan agensi daripada segi kos melibatkan yuran pensijilan atau audit luaran.
"SPINE akan mula dilaksanakan sepenuhnya kepada semua agensi awam Persekutuan serta negeri bermula Januari 2026," menurut kenyataan itu.
Mesyuarat itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Turut hadir ialah Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican dan Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM Datuk Idris Zaharuddin.
-- BERNAMA
