KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Fakulti Komunikasi Universiti Xiamen Malaysia (XMUM) memenangi dua hadiah utama pada pertandingan Idea Pitching yang pertama di Malaysia, dikhususkan untuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Pertandingan yang berlangsung di Auditorium Tan Hua Choon, XMUM, Sepang, Selangor pada 3 Dis lepas itu, dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Institut Perhubungan Awam Malaysia–XMUM (IPRMSA–XMUM) dengan kerjasama Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM).
Acara yang julung-julung kali diadakan itu menghimpunkan peserta daripada sembilan universiti di Malaysia, menampilkan 14 kumpulan yang bertanding dan menarik lebih 500 pelajar perhubungan awam dan komunikasi di seluruh negara.
Menurut kenyataan IPRM, bagi Kategori A: Idea Projek Tanggungjawab Sosial Korporat dan Kelestarian, Kumpulan 6 XMUM memenangi hadiah pertama menerusi projek The Clothes Reborn Programme: Building a Micro-circular System.
"Hadiah kedua diraih Kumpulan 8 XMUM dengan projek My Kampung, My Journey, manakala University of Wollongong Malaysia (UoW) mendapat hadiah ketiga dengan projek bertajuk Kira-Kira," menurut kenyataan itu.
Kategori B: Pembentangan Projek CSR dan Kelestarian Terbaik pula hadiah pertama dimenangi oleh UoW yang menampilkan projek Zero Hunger: Meals of Hope, INTI International University, Nilai (My Green My Future) mendapat hadiah kedua, manakala SEGI University (SoSure Media 2025) meraih hadiah ketiga.
Sementara itu, Dekan Fakulti Komunikasi XMUM Prof Dr Wang Changsong dalam ucapan alu-aluannya berkata pertandingan itu bertujuan memperkasakan pelajar untuk mengubah konsep yang selaras dengan CSR dan SDG kepada projek yang berdaya maju dan memberikan impak dalam menangani cabaran sosial dan kelestarian.
Pertandingan itu dirasmikan oleh Presiden IPRM Jaffri Amin Osman dan dihadiri oleh Ahli Majlis IPRM serta penasihat IPRMSA daripada universiti di seluruh negara.
Sebanyak sembilan universiti IPRMSA menyertai pertandingan itu termasuklah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Tunku Abdul Rahman, Kampar (UTAR Kampar) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).
IPRM turut mengumumkan tiga ahli baharu IPRMSA, iaitu Sunway University, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Dalam pada itu, pertandingan berkenaan turut merangkumi bengkel khas dikendalikan oleh Jaffri, yang berkongsi pandangan profesional terhadap amalan CSR, SDG serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), selain kajian kes industri berkaitan untuk meningkatkan pemahaman pelajar tentang rangka kerja tanggungjawab korporat.
Reruai kebajikan oleh Lovely Disabled Home turut disediakan yang memberikan pendedahan kepada pengunjung berkaitan inisiatif kebajikan dan peluang untuk menyumbang secara langsung demi kesejahteraan komuniti.
Menurut IPRM, program sebegini dapat memperteguh inovasi, etika dan penceritaan berimpak, sambil memperkasakan komunikator baharu dan memperkukuh masa depan profesion pegawai perhubungan awam di Malaysia.
-- BERNAMA
