AM

ADUN DUYONG PUJI JUALAN RAHMAH, TERIMA SUBSIDI RM1 JUTA DALAM TEMPOH SETAHUN

10/12/2025 03:08 PM

MELAKA, 10 Dis (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem memuji program Jualan Rahmah yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan apabila kawasan diwakilinya menerima kira-kira RM1 juta dalam bentuk subsidi di bawah inisiatif berkenaan.

Beliau berkata sepanjang setahun pelaksanaan program Jualan Rahmah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, sebanyak RM3 juta jualan berjaya direkodkan.

“Bayangkanlah di Duyong ni ada RM1 juta (subsidi), kat Melaka ni ada 28 DUN. Kalau satu DUN (Kerajaan Persekutuan belanja subsidi) RM1 juta, maksudnya dah RM28 juta duit subsidi telah dibelanjakan.

“Itu baru Jualan Rahmah, belum lagi Jualan Agro MADANI oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), belum lagi inisiatif lain oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri,” katanya pada ucapan penangguhan sempena sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di sini hari ini.

Beliau berkata dalam tempoh dewan yang masih berbaki kira-kira setahun sebelum dibubarkan pada tahun depan, wakil rakyat perlu memberi perkhidmatan terbaik bagi melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka.

“Kita habiskan satu tahun (terakhir) ini dengan penuh kemegahan. Untuk akan datang kita serahkan kepada Allah SWT. 

“Jadi calon pun belum tentu lagi tapi yang penting kita berakhir dengan kesenangan, dengan kelegaan. Sebab apa? Kita dah laksanakan amanah yang ada,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan