AM

PELANJUTAN TEMPOH REMEDI BERI RUANG PERBINCANGAN LANJUT TERENGGANU-PERSEKUTUAN

10/12/2025 05:37 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Pelanjutan tempoh remedi berkaitan notis dikeluarkan kerajaan negeri Terengganu di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara hingga 7 Jan 2026 membolehkan perbincangan lebih lanjut bersama kerajaan Persekutuan khususnya melibatkan FELDA.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah menerima maklumat terkini berkenaan isu FELDA dan perbincangan bersama kerajaan negeri.

“Semalam pihak FELDA dan FGV Holdings Berhad (FGV) telah mengeluarkan kenyataan, susulan kenyataan kerajaan negeri Terengganu berkaitan satu isu melibatkan skim rancangan FELDA.

“Sebelum ini saya pernah sebut bahawa kerajaan Persekutuan telah membuat bayaran sebanyak RM61 juta tahun lalu tetapi ada beberapa perkara yang sedang diteliti.

“Jadi ada beberapa perkara sedang diteliti dan Jemaah Menteri mengikuti dengan sangat rapat perkembangan isu ini,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Semalam, FGV memulakan semula operasi ladang susulan pelanjutan tempoh remedi hingga 7 Jan tahun depan oleh Terengganu. 

FELDA dan FGV dalam kenyataan bersama semalam memaklumkan operasi kini dapat diteruskan secara normal dan mereka kembali memberi tumpuan kepada peningkatan hasil, pengukuhan pendapatan keluarga peneroka serta pembangunan komuniti di tanah rancangan.

Isnin lepas, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Zulkifli Ali berkata kerajaan negeri bersetuju melanjutkan tempoh remedi berkaitan notis yang dikeluarkan sekali gus menangguhkan notis yang sebelum ini dikeluarkan kepada semua Ahli Lembaga Pengarah FGV.

Baru-baru ini, Terengganu mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah yang diusahakan FELDA di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar selepas mendakwa tanah berkenaan telah diteroka tanpa pembayaran premium, cukai atau perkongsian keuntungan selama lebih 40 tahun.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan