KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) menegaskan bahawa tindakan penangguhan bagi penguatkuasaan penuh terhadap kesalahan muatan berlebihan bukan pilihan selamat susulan kadar kemalangan melibatkan kenderaan berat masih membimbangkan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata pihaknya menghargai pandangan beberapa pihak yang mencadangkan agar penangguhan antara enam bulan hingga setahun atau pelaksanaan berfasa diberikan bagi memberi ruang kepada pengusaha menyesuaikan operasi.
“Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 346 kematian direkodkan pada 2024 iaitu 260 kes (membabitkan) lori dan 86 bas. Bagi tempoh Januari hingga September 2025 pula, 260 kematian direkodkan, meliputi 211 kes melibatkan lori dan 49 kes membabitkan bas.
“Angka ini menggambarkan isu keselamatan kenderaan berat bukan perkara kecil dan memerlukan tindakan segera yang tegas serta konsisten,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata statistik penguatkuasaan semasa operasi ‘Perang Lebih Muatan’ menunjukkan ketidakpatuhan masih berleluasa dengan 3,087 daripada 129,778 kenderaan berat yang diperiksa dikesan membawa muatan berlebihan manakala sebanyak 5,915 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Hasbi berkata berdasarkan dapatan teknikal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), kenderaan perdagangan yang membawa muatan berlebihan berisiko tinggi mengalami kegagalan brek, ketidakstabilan ketika menuruni cerun serta menyumbang kepada kerosakan jalan dan jambatan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup ketika sesi penggulungan memaklumkan bekalan beras negara mencukupi dengan 1.263 juta tan metrik stok fizikal direkodkan setakat 2 Dis lepas.
Beliau berkata ia merangkumi 1.063 juta tan metrik stok dagangan dan 200,000 tan metrik stok penimbal.
“Malaysia akan terus mempelbagaikan sumber import daripada Vietnam, Thailand, Pakistan, India dan Myanmar bagi memastikan kestabilan bekalan terutama sekiranya berlaku gangguan pasaran global atau perubahan dasar eksport negara pengeluar,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Arthur berkata program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertanian kini dilaksanakan di 16 institusi latihan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di seluruh negara, dengan silibus dipertingkat melalui penerapan teknologi moden termasuk automasi, Internet Kebendaan (IoT), dron dan kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata kurikulum yang dibangunkan turut melibatkan pihak industri dan akademia bagi memastikan ia seiring keperluan sebenar sektor.
Selain itu, Pensijilan Kompetensi Khas RCoC-AL untuk operator dron pertanian turut diperkenalkan dengan kos yang lebih rendah serta tempoh latihan yang dipendekkan, sekali gus mempercepatkan penghasilan tenaga kerja mahir dalam teknologi ladang.
Arthur berkata kementerian turut menjalinkan kerjasama strategik dengan industri melalui Direktori Pertanian Pintar (DirekTANI) sebagai platform padanan kepakaran dan peluang kerjaya kepada belia.
Turut menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 ialah Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Persidangan Dewan Negara bersambung esok.
-- BERNAMA
