KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Pembuangan sampah haram didalangi sindiket perlu ditangani dengan tegas, serius dan tanpa sebarang kompromi, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyokong usaha Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menubuhkan pasukan penguatkuasaan bersenjata supaya tiada lagi sindiket berani mewujudkan tapak pelupusan sampah haram.
“Tahun ini menyaksikan pelaksanaan inisiatif baharu bagi memperkukuh penguatkuasaan pengurusan sisa pepejal termasuk penubuhan pasukan petugas khas dan pengenalan aplikasi serta talian aduan SWCorp yang menerima lebih 1,400 aduan pembuangan sampah haram setakat ini,” katanya.
Nga berkata demikian pada Program Sentuhan Kejayaan KPKT: Operasi Pembasmian dan Penutupan Tapak Sampah Haram 2025.
Beliau berkata sebanyak 3,634 tapak sampah haram di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Kedah, Kuala Lumpur dan Putrajaya ditutup setakat Oktober hasil operasi penguatkuasaan, iaitu rekod tertinggi sejak Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) berkuat kuasa.
“Jumlah sampah dibersihkan ialah 1,530 tan metrik dengan 22 kes pembuangan sampah haram telah dibawa ke mahkamah manakala denda berjumlah RM385,000 dikenakan hasil daripada 4,268 operasi risikan.
“Sejak 2015, SWCorp menyita 185 kenderaan terlibat aktiviti pembuangan sampah haram. Pada tahun ini 23 kenderaan termasuk van dan lori disita dengan tindakan punitif dikenakan termasuk permohonan perintah pelucuthakan mahkamah,” katanya.
Nga berkata kejayaan operasi yang diperkukuh dengan pemasangan 47 kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi panas membuktikan tindakan bersepadu, risikan strategik dan teknologi memberi impak besar dalam membanteras pembuangan sampah haram secara menyeluruh.
Selain itu, Nga berkata SWCorp turut memainkan peranan penting dalam membantu operasi pembersihan pascabencana termasuk Monsun Timur Laut serta Ribut Tropika Senyar, bulan lepas.
“SWCorp telah menggerakkan syarikat konsesi untuk melaksanakan operasi pembersihan pascabanjir melibatkan hampir 1,000 anggota kerja dan 304 unit jentera dengan hampir 1,200 tan metrik sisa dikutip dan dilupuskan secara teratur,” katanya.
Nga berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, SWCorp memperkenalkan reformasi pembersihan awam melalui beberapa inisiatif termasuk penggunaan kenderaan pelupusan berasaskan elektrik yang lebih lestari serta pelaksanaan kerja waktu malam bagi memudahkan petugas tanpa terdedah kepada cuaca panas.
Mengenai program hari ini, Nga berkata ia komitmen berterusan KPKT melalui SWCorp dalam membanteras kegiatan pembuangan sampah haram secara menyeluruh dan terancang dengan fokus kepada pendekatan penguatkuasaan berimpak tinggi dan berskala nasional melalui penguatkuasaan Akta 672.
-- BERNAMA
