DUNGUN, 11 Dis (BERNAMA) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu mengeluarkan 27 kompaun dan notis arahan atas kesalahan melepaskan asap hitam melebihi had, dari Januari lepas hingga hari ini.
Pengarah JAS Terengganu Hamzah Mohamad berkata tindakan itu diambil hasil pemeriksaan terhadap 1,197 kenderaan dalam 48 operasi di seluruh negeri ini.
"Tindakan perundangan itu melibatkan 13 kompaun dan 10 notis arahan atas kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996, manakala masing-masing dua kompaun dan notis arahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripara Enjin Petrol) 1996.
"Selain itu, dua pendakwaan juga telah diambil di mahkamah dengan denda RM3,000 setiap kes," katanya ketika ditemui selepas Ops Gerak Kenderaan Bermotor (Ops Gerak) Peringkat Negeri Terengganu di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Paka di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat sini hari ini.
Ops Bersepadu itu disertai 62 anggota daripada JAS, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Beliau berkata operasi tersebut bertujuan memastikan kualiti udara terpulihara dan sentiasa berada dalam keadaan bersih serta sihat untuk rakyat.
"Pemilik kenderaan diminta sentiasa memastikan kenderaan masing-masing diselenggara secara berkala bagi mengelakkan pelepasan asap berlebihan yang boleh mengakibatkan pencemaran alam sekitar," katanya.
Selain itu, beliau berkata pada tahun ini JAS Terengganu juga melakukan pemeriksaan di enam stesen minyak bagi mendapatkan bacaan kualiti bahan api dalam memastikan kualiti bahan api mematuhi peraturan Kawalan Kandungan Petrol dan Diesel 2002.
-- BERNAMA
