AM

PENGASAS BERSAMA BREAKTHRU ACADEMY PHOEBE LONG MEI WAH RAIH ANUGERAH ESG CHANGEMAKER

12/12/2025 08:38 AM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Pengasas Bersama dan Ketua Jurulatih Utama Breakthru Academy Phoebe Long Mei Wah diberi penghormatan dengan Anugerah ESG Changemaker di bawah kategori Impak Sosial dan Komuniti pada Anugerah ESG PLUS 2025 di sini semalam.

Breakthru Academy dalam kenyataan memaklumkan pengiktirafan itu membuktikan sumbangan Phoebe selama lebih dua dekad dalam pendidikan inklusif, ketahanan emosi dan kesejahteraan komuniti bagi kanak-kanak, belia dan keluarga neurodivergent melalui program berasaskan bukti dan berfokuskan pergerakan.

Ia juga mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan penting Breakthru Academy dalam membentuk generasi masa depan yang tahan emosi, inklusif dan berdaya maju.

Kenyataan itu memaklumkan Phoebe telah mempelopori teknik pergerakan otak-badan yang mengukuhkan kebolehan pembelajaran, pengawalan emosi, keyakinan diri dan kesejahteraan secara menyeluruh, memberi manfaat kepada ribuan individu di peringkat serantau dan antarabangsa.

Sebagai pencipta dan pengarang The Breakthru Approach with 3P.L.A.Y., satu rangka kerja berasaskan penyelidikan yang diterima di peringkat antarabangsa untuk kawalan kendiri dan proses dua hala, Breakthru Academy memaklumkan Phoebe telah memperkasakan ribuan ibu bapa, pendidik dan ahli terapi di seluruh Malaysia, Asia Tenggara, India dan Jepun.

“Kemahiran inovatif beliau dalam teknik pergerakan otak-badan, termasuk Brain Gym, Latihan Pergerakan Ritma dan kaedah proprietari telah membantu individu mengatasi cabaran pembelajaran, emosi dan tingkah laku sambil memupuk keyakinan diri dan kesejahteraan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan Phoebe diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai Ahli Fakulti Brain Gym dan Pembelajaran Berasaskan Pergerakan bersama Breakthroughs International dan Rhythmic Movement Training International (USA) serta seorang Fasilitator Utama bertauliah, Kinesiologi Profesional dan jurulatih bertauliah HRD Corp.

Sementara itu, Phoebe dipetik dalam kenyataan itu sebagai berkata beliau berasa rendah hati dan bersyukur atas pengiktirafan itu, serta mendedikasikannya kepada setiap ibu bapa, fasilitator, guru, ahli terapi dan kanak-kanak dalam keluarga Breakthru yang telah menyertai perjalanan ini.

“Bersama-sama, kami terus mencipta masyarakat yang lebih prihatin, inklusif dan berdaya maju. Satu pergerakan, satu kejayaan pada satu masa,” katanya.

Breakthru Academy ialah penyedia latihan berdaftar HRD Corp yang berpangkalan di Malaysia, khusus dalam pembelajaran berasaskan pergerakan dan pengalaman yang mentransformasikan kehidupan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan