AM

STRATEQ RANGKUL ANUGERAH TEKNOLOGI & INOVASI DIGITAL PADA ESG PLUS 2025

12/12/2025 04:07 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Kumpulan Strateq merangkul Anugerah Teknologi dan Inovasi Digital di bawah Kategori Kecemerlangan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Mengikut Industri pada Anugerah ESG PLUS 2025 semalam.

Kenyataan Strateq hari ini memaklumkan anugerah itu, yang disampaikan di sebuah hotel di sini, mengiktiraf kepimpinan kumpulan itu dalam memajukan transformasi ESG berasaskan teknologi merentasi pelbagai sektor

Ia juga mencerminkan perkembangan peranan Strateq dalam menyokong industri yang dikawal selia dan kritikal kepada misi dengan penyelesaian digital yang mengukuhkan ketahanan operasi, meningkatkan piawaian tadbir urus serta memperbaiki prestasi alam sekitar.

"Kami berasa bangga menerima pengiktirafan ini, yang mengesahkan komitmen berterusan kami ke arah membangunkan teknologi yang bukan sahaja mengubah proses tetapi juga memajukan komuniti, mengukuhkan tadbir urus dan menyumbang kepada dunia yang lebih lestari.

“ESG bukan lagi sekadar kerangka pilihan, ia adalah asas perniagaan yang berdaya tahan. Anugerah ini memberi motivasi kepada kami untuk terus berinovasi dengan matlamat yang jelas serta menyokong pelanggan kami dalam mencapai impak ESG yang bermakna dan boleh diukur,” menurut kenyataan itu.

Menurut Strateq, anugerah itu mengiktiraf keupayaannya untuk memasukkan pertimbangan ESG dalam reka bentuk dan penggunaan teknologi, mengurangkan impak alam sekitar melalui pengoptimuman digital, mengukuhkan tadbir urus dan pematuhan melalui infrastruktur digital yang selamat, menyokong kesejahteraan sosial melalui penyelesaian digital berorientasikan komuniti serta membolehkan organisasi beralih ke persekitaran operasi dipacu data dan bersedia untuk masa depan.

Kumpulan itu memaklumkan rangka kerja digital mereka adalah selaras dengan ESG termasuk platform kelestarian dipacu data, sistem pengoptimuman tenaga, pemantauan sumber berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur kesihatan digital berasaskan komuniti telah membolehkan pelanggan menjejak metrik utama, mengautomasikan pelaporan pematuhan, meningkatkan keselamatan serta memperbaiki ketelusan.

Ditubuhkan pada 1983, Kumpulan Strateq telah memposisikan dirinya sebagai pemangkin teknologi serantau bagi sektor seperti penjagaan kesihatan, tenaga, perkhidmatan awam, kewangan, telekomunikasi dan operasi perusahaan.

“Selama lebih empat dekad, Kumpulan Strateq berada di barisan hadapan dalam membangunkan penyelesaian teknologi bersepadu yang menyokong sektor kritikal seperti penjagaan kesihatan, tenaga, perkhidmatan awam, perkhidmatan kewangan dan operasi perusahaan.

“Kemajuan kumpulan ini dalam pendigitalan termasuk penyelesaian awan, analisis data, automasi dan teknologi selaras ESG telah memperkasakan organisasi untuk meningkatkan kecekapan, ketelusan, pemeliharaan alam sekitar serta kelestarian jangka panjang,” katanya.

Keupayaan syarikat itu merangkumi infrastruktur perusahaan dan integrasi sistem sehinggalah pusat data dan perkhidmatan terurus selain penyelesaian IT penjagaan kesihatan seperti Sistem Maklumat Hospital Menyeluruh (THIS).

Ia juga menawarkan perisian perusahaan, perkhidmatan keselamatan siber, perundingan teknologi dan penyelesaian pemulihan bencana.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan