KOTA KINABALU, 12 Dis (Bernama) -- Pelancaran Sistem Penyimpanan Bateri Lahad Datu (BESS Lahad Datu) menandakan pencapaian penting untuk Sabah memandangkan ia fasiliti penyimpanan tenaga terbesar bukan hanya di Malaysia tetapi juga Asia Tenggara.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata BESS Lahad Datu di bawah seliaan Sabah Electricity direka bagi meningkatkan kestabilan grid, mengurangkan kebergantungan kepada diesel dan menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui di negeri itu.
“Inisiatif ini sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri untuk memastikan rakyat terus menikmati bekalan elektrik yang stabil, mencukupi dan mampu milik selain mengurangkan risiko gangguan bekalan di Pantai Timur serta meningkatkan kualiti hidup penduduk Sabah,” katanya.
Hajiji berkata demikian pada majlis pelancaran yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah.
Selain BESS Lahad Datuk dengan kapasiti 100 megawatt (MW) dengan simpanan tenaga sebanyak 400 megawatt sejam (MWj), Hajiji berkata beberapa langkah strategik lain turut dirancang dan dilaksanakan di bawah Pelan Induk dan Pelan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).
Beliau berkata SE-RAMP 2040 menjadi panduan utama arah tuju tenaga Sabah yang menekankan tiga prinsip teras, iaitu keselamatan tenaga, kemampuan kos dan kelestarian alam sekitar.
“Semua inisiatif ini penting dalam memastikan kemajuan sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata peralihan kuasa regulatori bekalan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sabah pada Januari 2024 membolehkan negeri menggubal dasar serta peraturan sendiri dan mempercepat pelaksanaan projek tenaga yang disesuaikan dengan keperluan setempat di bawah seliaan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).
Dalam usaha meningkatkan penjanaan tenaga di Sabah, Hajiji berkata kerajaan negeri telah meluluskan hampir 1,000 MW kapasiti baharu merangkumi pelbagai sumber termasuk hidro, solar dan angin.
Beliau berkata ECoS telah melancarkan bidaan Solar Skala Besar (LSS) yang menyasarkan pembangunan loji jana kuasa solar antara 1MWac hingga 15MWac pada 2024. Daripada bidaan itu, 15 projek dengan jumlah kapasiti 199MW-113MW di Pantai Barat dan 86MW di Pantai Timur telah diluluskan.
“Dengan projek sedia ada termasuk yang sedang dilaksanakan, kapasiti LSS di Sabah dijangka melebihi 350MW menjelang 2027, iaitu bersamaan 23 peratus daripada keseluruhan campuran kapasiti penjanaan elektrik negeri,” katanya.
-- BERNAMA
