AM

SABAH ELECTRICITY TINGKAT USAHA GRID PINTAR, SOKONG AGENDA PULAU PINTAR LABUAN

27/01/2026 07:20 PM

LABUAN, 27 Jan (Bernama) -- Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) telah menyiapkan 87 sistem  automasi pengagihan (DA) pencawang elektrik daripada sejumlah 120 pemasangan yang dirancang, menandakan pencapaian penting dalam meningkatkan kebolehpercayaan dan responsif bekalan kuasa di Labuan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar berkata sistem DA membolehkan pasukan teknikal Sabah Electricity memantau dan mengurus pencawang dari jauh, membolehkan pengesanan dan pembetulan kerosakan yang lebih pantas termasuk sejauh dari Penampang di Sabah.

“Inisiatif automasi pengagihan adalah penting dalam mengurangkan masa tindak balas semasa gangguan dan meningkatkan kecekapan keseluruhan sistem,” katanya kepada pemberita selepas melawat sistem DA pencawang elektrik di Nagalang, di sini hari ini.

Mohd Yaakob berkata Sabah Electricity juga sedang menaik taraf sistem kabel bawah tanah melibatkan 20 kilometer yang telah siap dan baki 19 kilometer yang akan dijalankan secara berperingkat. Selain itu, naik taraf kabel bawah tanah sepanjang 37 kilometer di kawasan bandar dijadualkan siap tahun ini dan tahun depan.

Beliau berkata peningkatan infrastruktur itu merupakan sebahagian projek Pulau Pintar Labuan yang bertujuan memodenkan utiliti dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan menerusi pendigitalan dan teknologi pintar.

Katanya projek itu melibatkan pelaburan sebanyak RM92 juta dan akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 2024 hingga 2027.

Sementara itu, Mohd Yaakob berkata sebanyak 320 meter pintar telah dipasang di premis pengguna di Labuan.

Beliau menyifatkan inisiatif itu sebagai satu daripada langkah untuk membendung gangguan meter di samping meningkatkan ketepatan pemantauan penggunaan elektrik.

“Kami mahu membantu Labuan mencapai agendanya untuk menjadi Pulau Pintar menjelang 2027 melalui sistem elektrik yang lebih berdaya tahan, telus dan dipacu teknologi,” katanya.

Mohd Yaakob berkata Sabah Electricity telah berjaya mengurangkan Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) di Labuan daripada 96 minit pada 2024 kepada 82 minit pada 2025.

“Sasaran kami adalah untuk membawa SAIDI ke bawah 50 minit, selaras dengan komitmen kami untuk menyediakan bekalan kuasa yang lebih dipercayai dan stabil untuk pengguna,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan