AM

BERNAMA PERKUKUH HUBUNGAN STRATEGIK DENGAN TVS

12/12/2025 08:07 PM

KUCHING, 12 Dis (Bernama) -- Delegasi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, mengadakan kunjungan hormat ke TV Sarawak (TVS) di sini, hari ini.

Delegasi yang turut disertai Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan beberapa pegawai kanan itu, disambut Ketua Pegawai Media TVS Mohamad Sardon Zainal, Editor Kanan Khairunnisa Kasnoon dan Pemangku Ketua Pemasaran dan Komunikasi Iszarul Japar.

Semasa kunjungan itu, Nur-ul Afida menzahirkan penghargaan kepada TVS dan Sarawak Media Group atas sokongan sebagai pelanggan Bernama sejak 2021.

Beliau turut mengalu-alukan penyertaan Mohamad Sardon dalam Lembaga Pengelola Bernama, yang kini lebih inklusif merangkumi media cetak, penyiaran dan digital.

Nur-ul Afida berkata Bernama bersedia memperkukuh kerjasama strategik dengan TVS, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan datang, berdasarkan pengalaman agensi itu membuat liputan besar-besaran semasa PRN Sabah serta pilihan raya lain sebelum ini.

Sementara itu, Arul Rajoo menyatakan komitmen Bernama untuk terus menyokong TVS melalui perkongsian kandungan, sokongan editorial dan kerjasama antara biro di Sarawak dan Semenanjung.

Beliau turut yakin TVS berupaya memperluas liputan bertaraf antarabangsa menjelang penganjuran Sukan SEA 2027 di Sarawak.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan