AM

MOU MCMC, KERAJAAN NEGERI PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK LAKSANA BANDAR PINTAR MELAKA

12/12/2025 08:15 PM

MELAKA, 12 Dis (Bernama) -- Permeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Kerajaan Melaka hari ini bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dalam pelaksanaan Inisiatif Bandar Pintar Melaka.

MCMC dan kerajaan Melaka dalam satu kenyataan bersama memaklumkan kerjasama berkenaan sejajar dengan pelaksanaan Blueprint Melaka Pintar 2035 (SMB2035) yang menjadi panduan utama transformasi digital negeri ke arah pembangunan lebih lestari, berdaya huni dan berdaya tahan menjelang 2035.

Kenyataan itu memaklumkan MoU terbabit merangkumi kerjasama dalam pelbagai aspek seperti memperluas infrastruktur kesalinghubungan pintar merangkumi perkhidmatan Wi-Fi awam berkelajuan tinggi, rangkaian gentian optik yang tersedia untuk keperluan masa hadapan serta pemasangan smart pole bagi memastikan liputan rangkaian menyeluruh di seluruh negeri.

Selain itu, kerjasama turut meliputi usaha memperkukuh keselamatan awam, pengurusan trafik dan pelancongan berasaskan teknologi pintar melalui Network Operation and Command Centre bagi memastikan pelaksanaan secara bersepadu.

“Pelaksanaan kerjasama ini dijangka memberi impak positif kepada rakyat melalui peluasan akses Wi-Fi awam berkelajuan tinggi, penyampaian perkhidmatan digital yang lebih cekap, pengurusan trafik yang lebih lancar serta pengurangan risiko bencana,” menurut kenyataan itu.

Majlis pertukaran MoU itu membabitkan Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad dengan disaksikan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Menurut kenyataan itu, usaha berkenaan turut merangsang pembangunan ekonomi digital tempatan dengan memperkukuh sektor pelancongan, peruncitan, logistik serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk pelaburan. 

Pada masa sama, kerjasama itu juga membekalkan asas infrastruktur bandar pintar yang diperlukan untuk transformasi digital jangka panjang negeri, seterusnya mengukuhkan kedudukan Melaka sebagai negeri pintar yang berdaya saing di peringkat antarabangsa. 

“MCMC komited untuk terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Melaka dalam menjayakan agenda digital negara, memastikan pembangunan bandar pintar yang inklusif, mampan dan memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan