JOHOR BAHRU, 12 Dis (Bernama) -- Johor dijangka mengakhiri tahun ini dengan kutipan hasil sebanyak RM2.6 bilion, melepasi sasaran awal RM2 bilion, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata sehingga bulan ini, hasil negeri berada di landasan yang tepat sebanyak RM2.5 bilion.
“Pada asalnya kita menjangka RM2 bilion. Kemudian kita lihat kita berada pada landasan untuk mencapai RM2.5 bilion. Tetapi insya-Allah, berdasarkan laporan semalam, Johor akan menutup tahun ini dengan rekod RM2.6 bilion.
“Peningkatan hasil itu akan terus dikembalikan kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif dan pembangunan. Syukur alhamdulillah… peningkatan hasil ini akan kita pulangkan kepada Bangsa Johor yang kita cintai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Kasih Johor (BKJ) di kediaman rasminya di Saujana, di sini hari ini.
Sementara itu, Onn Hafiz dalam ucapannya berkata susulan pencapaian yang membanggakan tahun ini, beliau berharap kutipan hasil negeri dapat mencapai RM3 bilion tahun depan.
Menurutnya pertemuan dengan rakan strategik termasuk Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Johor menunjukkan momentum pelaburan yang sangat positif.
Katanya Johor dijangka mencapai nilai pelaburan berpotensi mencecah RM110 bilion menjelang akhir tahun ini, dibantu perkembangan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang giat dipromosikan.
Jumlah itu berjaya mencapai sasaran RM100 bilion bagi keseluruhan tahun, dengan RM91.1 bilion direkodkan sehingga suku ketiga 2025.
“Dengan prestasi sebegini, tahun depan saya akan memberikan indeks prestasi utama yang lebih tinggi kepada mereka,” katanya sambil merujuk komitmen kerajaan negeri untuk menghargai petugas yang terlibat dalam pembangunan dan pelaburan.
-- BERNAMA
