KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Tokoh kewartawanan Datuk Seri Wong Chun Wai dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Paling Berpengaruh Media Berbahasa Cina oleh Dewan Perhimpunan Cina Malaysia (MCAH) pada majlis yang berlangsung di sini, malam ini.
Anugerah berprestij itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada Majlis Anugerah Elit Naga Cina kali kedua anjuran MCAH.
Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) itu merupakan antara tokoh pelbagai sektor yang menerima pengiktirafan pada majlis berkenaan.
Wong, yang juga Tokoh Wartawan Negara, berkata beliau amat berbesar hati dengan penghargaan tersebut.
“Lebih daripada itu, ia turut mengangkat martabat profesion kewartawanan serta rakan-rakan media saya. Saya berterima kasih atas sokongan berterusan daripada mereka,” kata tokoh berusia 64 tahun itu.
Majlis berkenaan, yang diadakan sempena ulang tahun ke 22 MCAH, dihadiri lebih 1,600 tetamu termasuk Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Duta Besar China ke Malaysia, Quyang Yujing dan Presiden MCAH Datuk Seri KK Chai.
Wong, bekas Penasihat The Star Media Group Bhd itu, mempunyai lebih 40 tahun pengalaman dalam industri media.
Anak kelahiran Pulau Pinang itu merupakan siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan Sains Politik dan Sejarah pada 1984.
Beliau pernah menjadi Profesor Adjung di Sekolah Siswazah Othman Yeop Abdullah di bawah Universiti Utara Malaysia (UUM) serta Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di UKM.
Wong juga pernah mengikuti kursus kepimpinan dan kewangan di beberapa universiti terkemuka di Amerika Syarikat termasuk University of Southern California dan Standford University di bawah program anjuran Bank Negara.
Pada 2003, beliau menerima Anugerah Wartawan Terbaik bagi kategori Berita Rencana daripada Institut Akhbar Malaysia dan pada tahun sama, majalah perniagaan serantau Asia Inc telah menamakan Wong dalam senarai 50 teratas golongan muda yang menggerak serta menggoncang Asia.
Wong juga pernah meraih beberapa anugerah berprestij antaranya Anugerah Personaliti Terbaik Media di Anugerah SEBA 2024; Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat bagi Kepimpinan dalam Industri Media daripada Forum Ekonomi China Dunia di Chongqing pada 2014 serta gelaran Pemimpin Media Tahun 2015 daripada McMillan Woods, sebuah firma perakaunan terkemuka.
-- BERNAMA
