SHAH ALAM, 12 Dis (Bernama) -- Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI Selangor) menerima Anugerah Tadbir Urus dan Kepimpinan Beretika pada majlis Anugerah ESG PLUS 2025 yang berlangsung di ibu negara dua hari lepas.
MBI Selangor dalam kenyataan memaklumkan anugerah berkenaan diberikan sebagai menghargai organisasi yang mempunyai struktur tadbir urus korporat kukuh, inisiatif kewangan mampan dan perlindungan data peribadi menyeluruh serta kepimpinan berintegriti.
Menurut kenyataan itu, anugerah tersebut turut meraikan organisasi yang memupuk kepercayaan jangka masa panjang dan menjunjung integriti dalam setiap aspek perniagaan.
“Anugerah ini mencerminkan komitmen padu MBI Selangor dan syarikat milikannya terhadap tadbir urus berintegriti tinggi sebagai asas penciptaan nilai jangka panjang, dengan portfolio merangkumi sektor strategik yang menjadi tonggak pembangunan ekonomi Selangor, termasuk Tanah dan Hartanah; Perlombongan dan Mineral; Air, serta Tenaga dan Utiliti.
“MBI Selangor memikul amanah besar untuk memelihara kepercayaan awam dan mengurus risiko institusi dengan berkesan. Selaras dengan aspirasi Rancangan Selangor Pertama (RS-1), MBI Selangor terus memperkukuh ketelusan, kecekapan dan pengurusan berasaskan data bagi memastikan setiap keputusan dan operasi menepati standard tadbir urus terbaik,” menurut kenyataan itu.
MBI Selangor memaklumkan Anugerah ESG PLUS disokong rakan strategik antaranya Baker Tilly Malaysia, ESG Academy (ESGAP) dan Convene ESG dalam memastikan penilaian yang dilakukan bersandarkan kepada piawaian global.
MBI Selangor turut menyatakan komitmennya untuk terus memperkukuhkan usaha kelestarian sejajar dengan agenda pembangunan kelestarian Selangor.
Pada majlis yang diadakan di Hotel Sheraton, Kuala Lumpur itu turut diadakan dialog ESG PLUS bertemakan “The ESG Balancing Act: Profit, People & Planet in Today’s Economy", yang menghimpunkan pemimpin industri untuk berkongsi pandangan, pengalaman, dan amalan terbaik dalam kepimpinan ESG, serta membincangkan cabaran, peluang, dan hala tuju pelaksanaan prinsip kelestarian di Asia.
-- BERNAMA
