AM

SJKT LADANG CHEMBONG DIPILIH SEKOLAH ANGKAT MADANI KBS

12/12/2025 10:14 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memilih Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Chembong di Rembau, Negeri Sembilan sebagai Sekolah Angkat MADANI kementerian itu.

KBS memaklumkan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan diberikan tanggungjawab selaku agensi pelaksana bersama Pejabat Pendidikan Daerah Rembau, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong dan Majlis Belia Daerah Rembau.

“Antara skop dilaksana di bawah program berkenaan ialah projek fizikal iaitu menaik taraf dan pemulihan Pusat Sumber Sekolah SJKT Ladang Chembong serta projek bukan fizikal melibatkan khidmat dan aktiviti sosial belia dan sukan.

“Program ini berperanan sebagai pemangkin kepada masyarakat Ladang Chembong, Rembau dalam menggalakkan kesinambungan aktiviti berteraskan sukan, pendidikan, sukarelawan serta gaya hidup aktif,” menurut KBS dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan program berkenaan turut menyokong aspirasi bagi memperkasakan komuniti sekolah melalui pelbagai inisiatif pembangunan yang relevan dan mampan berteraskan nilai MADANI.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan