AM

MALAYSIA GESA THAILAND-KEMBOJA HENTI PERMUSUHAN, TIDAK LAKUKAN TINDAKAN KETENTERAAN - PM ANWAR

13/12/2025 05:10 PM

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Malaysia menggesa Thailand dan Kemboja menghentikan segala bentuk permusuhan serta tidak melakukan sebarang tindakan ketenteraan lanjut, termasuk penggunaan kekerasan atau menggerakkan pasukan bersenjata ke barisan hadapan, bermula 10 malam ini waktu Thailand-Kemboja (11 malam waktu Malaysia).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata gesaan itu disampaikan menerusi perbualan telefon secara berasingan dengan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, susulan perbincangan beliau dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, mengambil kira ketegangan berterusan di sempadan kedua-dua negara berkenaan.

“Bagi menyokong usaha meredakan ketegangan dan meningkatkan ketelusan, Malaysia telah meminta penugasan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) yang diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaafar untuk memantau situasi di lapangan.

“Misi ini akan turut disokong oleh pemantauan satelit yang disediakan oleh kerajaan AS, bermula pada waktu yang sama,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata dapatan pemantauan lapangan dan satelit itu akan dikumpulkan oleh AOT dan dibentangkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadualkan berlangsung Selasa ini.

Beliau berkata laporan berkenaan akan memberikan gambaran objektif mengenai situasi semasa, termasuk kedudukan kedua-dua pihak demi kepentingan akauntabiliti, pembinaan keyakinan serta pemeliharaan keamanan dan kestabilan serantau.

“Malaysia kekal fokus untuk bekerjasama rapat dengan rakan-rakan ASEAN dan komuniti antarabangsa bagi memastikan dialog, sikap bertenang dan diplomasi terus menjadi landasan utama (dalam menangani sebarang ketegangan serantau),” kata Anwar.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan