AM

MALAYSIA ANTARA NEGARA PALING AMAN DI DUNIA - PM ANWAR

13/12/2025 07:24 PM

PETALING JAYA, 13 Dis (Bernama) -- Malaysia kekal sebagai antara negara paling aman di dunia meskipun memiliki kepelbagaian kaum, agama dan serantau yang rumit, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata keupayaan negara dalam mengurus kepelbagaian itu telah mengukuhkan keyakinan masyarakat antarabangsa dan meletakkan Malaysia sebagai kuasa penstabil di peringkat serantau.

“Apa pun yang diperkatakan dan dilakukan, negara ini meskipun mempunyai kerumitan dari segi aspirasi serantau, kaum dan agama, Malaysia sememangnya tergolong satu daripada negara paling aman di dunia,” kata beliau. 

Anwar berkata demikian berucap pada majlis Minum Petang Sambutan Krismas anjuran Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusoff.

Perdana Menteri berkata status Malaysia sebagai negara aman antara faktor utama menjadikan negara ini terus dihormati negara jiran dan komuniti antarabangsa.

Hal berkenaan, kata Anwar dibuktikan menerusi kepercayaan diberikan oleh pemimpin serantau dan antarabangsa terhadap peranan Malaysia dalam meredakan konflik dan menggalakkan dialog termasuk oleh negara jiran.

Beliau berkata kedudukan Malaysia yang aman juga mendorong negara jiran seperti Kemboja dan Thailand untuk meletakkan kepercayaan kepada Malaysia bagi membantu memudah cara dialog dan meredakan ketegangan serantau.

Majlis dihadiri kira-kira 800 tetamu dalam kalangan komuniti Kristian berkenaan turut diserikan dengan beberapa persembahan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan