BRUSSELS, 13 Dis (Bernama-Anadolu) – Dua penerbangan yang memasuki Lapangan Terbang Oslo dilencongkan buat sementara waktu pada Sabtu selepas sebuah dron diterbangkan berhampiran lapangan terbang itu, lapor Anadolu Ajansi, memetik penyiar awam NRK.
Pengurus Operasi Rune Isaksen berkata dua pesawat menghampiri lapangan terbang itu dilencongkan ke landasan lain disebabkan aktiviti dron berhampiran Gardermoen.
Polis berkata mereka sedang berhubung dengan juruterbang dron dan telah mengambil alih kawalan dron dan pengendalinya.
Pihak berkuasa dijangka memberi maklumat lanjut ketika siasatan diteruskan.
Pegawai Akhbar Avinor Karoline Pedersen memberitahu penyiar itu dron berkenaan kelihatan berhampiran landasan barat, mendorong pegawai lapangan terbang menghubungi polis.
"Ini bermakna kami melencongkan dua pesawat masuk ke landasan lain," kata Pedersen, sambil menambah lalu lintas udara sejak itu kembali normal dan tiada ‘drama besar’."
Pedersen berkata terdapat zon larangan lima kilometer (3.1 batu) di sekitar Lapangan Terbang Oslo dan polis dimaklumkan setiap kali dron dikesan dalam kawasan itu, sambil menambah masih tidak jelas betapa dekat dron itu dengan landasan.
-- BERNAMA-ANADOLU
