KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melaksanakan jadual waktu baharu perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang berkuat kuasa 1 Jan 2026, selaras dengan kemajuan kerja Projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa II (KVDT2).
Dalam kenyataan hari ini, KTMB memaklumkan bahawa jadual baharu terpakai bagi laluan Tanjung Malim–Pelabuhan Klang–Tanjung Malim dan Pulau Sebang–Batu Caves–Pulau Sebang, bagi menyokong operasi yang lebih stabil hasil naik taraf landasan di bawah projek KVDT2.
“Perubahan ini dijangka meningkatkan kelancaran perjalanan tren, mengoptimumkan pergerakan sepanjang laluan terlibat, serta menyediakan perkhidmatan lebih konsisten kepada pengguna,” menurut kenyataan itu.
KTMB turut memaklumkan bahawa perkhidmatan bas ulang-alik bagi laluan Subang Jaya–Pelabuhan Klang dan stesen-stesen perantaraan yang terlibat tidak lagi disediakan dengan pelaksanaan jadual baharu ini.
Bagi memenuhi keperluan pengguna pada waktu puncak, perkhidmatan tren akan disediakan setiap 30 minit bagi laluan Pelabuhan Klang–Kuala Lumpur dan Tanjung Malim–Kuala Lumpur.
Dua perkhidmatan tren dari Tanjung Malim ke Pelabuhan Klang dan satu ke Shah Alam diperkenalkan pada waktu pagi, termasuk melalui KL Sentral.
Kerja penyelenggaraan dan penutupan landasan akan diteruskan antara 11 pagi hingga 3 petang setiap hari, di mana tiada perkhidmatan tren penumpang bagi laluan Pelabuhan Klang–KL Sentral–Pelabuhan Klang.
Laluan Pulau Sebang–Batu Caves–Pulau Sebang pula mengekalkan kekerapan 30 minit pada waktu puncak pagi dan petang.
Dalam tempoh peralihan ini, operasi tren di sektor Pelabuhan Klang masih menggunakan satu landasan antara Stesen Abdullah Hukum dan Stesen Pelabuhan Klang, sementara kerja naik taraf penuh dijangka siap sepenuhnya pada 2029.
Jadual waktu baharu boleh disemak melalui aplikasi KITS STYLE atau laman sesawang rasmi KTMB, manakala maklumat lanjut boleh diperoleh melalui saluran media sosial rasmi KTMB atau Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.
-- BERNAMA
