AM

LEE LAM THYE CADANG TIGA PENDEKATAN NASIONAL BENDUNG KEGANASAN BELIA

14/12/2025 03:08 PM

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Pengerusi Alliance for a Safe Community Tan Sri Lee Lam Thye mencadangkan tiga pendekatan nasional bagi menangani isu keganasan belia, dengan menekankan keperluan pembaharuan pendidikan, kewarganegaraan digital yang bertanggungjawab serta penglibatan ibu bapa yang lebih kukuh.

Beliau berkata kejadian tikaman maut melibatkan seorang pelajar perempuan di dalam kawasan sekolah di Bandar Utama pada Oktober lepas, selain peningkatan kes buli di sekolah, membuktikan isu berkenaan merupakan krisis mendalam yang tidak lagi boleh dipandang ringan.

“Ini bukan sekadar masalah disiplin, sebaliknya mencerminkan keruntuhan sahsiah dan nilai murni, yang diburukkan lagi oleh pengaruh digital yang memudaratkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lee berkata pendekatan pertama ialah pengintegrasian Pembelajaran Sosial dan Emosi (Social-Emotional Learning, SEL) ke dalam kurikulum teras, sebagaimana yang diamalkan di Denmark.

“Setiap pelajar perlu menerima pengajaran berterusan dan wajib dalam empati, penyelesaian konflik, dan literasi emosi bagi membina ketahanan dan rasa hormat,” katanya.

Pendekatan kedua, menurut beliau, ialah melangkaui pengajaran asas teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan mendidik kanak-kanak serta ibu bapa menjadi warganegara digital yang kritis, beretika dan bertanggungjawab.

“Ia termasuk mengajar mereka menilai kandungan, memahami akibat tindakan digital mereka, serta mengenal pasti tingkah laku agresif dalam talian,” katanya.

Lee berkata pendekatan ketiga menumpukan kepada pemerkasaan ibu bapa melalui program keibubapaan digital yang wajib dan mudah diakses.

“Tanggungjawab ini tidak boleh dipikul sepenuhnya oleh guru; ibu bapa mesti hadir, menjadi contoh nilai positif, dan secara aktif memupuk hubungan dunia sebenar yang tidak dapat digantikan oleh platform digital,” katanya.

Beliau berkata walaupun undang-undang dan peraturan boleh menangani risiko berkaitan teknologi, keselamatan jangka panjang hanya dapat dicapai melalui pembentukan nilai yang kukuh.

“Kami menggesa kerajaan serta semua pihak berkepentingan untuk bertindak tegas melaksanakan langkah menyeluruh ini, bagi memastikan masa depan anak-anak kita dibentuk oleh hubungan, empati dan rasa hormat, bukannya keganasan dan pengasingan digital,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan