AM

MALAYSIA PERLU RUU PERUBAHAN IKLIM KOMPREHENSIF - LEE LAM THYE

15/02/2026 03:57 PM

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Malaysia memerlukan Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim yang komprehensif untuk memberi kejelasan undang-undang, hala tuju jangka panjang dan akauntabiliti dalam menangani kesan perubahan iklim yang semakin meningkat, kata Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye. 

Beliau berkata perubahan iklim bukan lagi ancaman masa depan tetapi realiti semasa yang menjejaskan kestabilan negara, prestasi ekonomi dan kesejahteraan sosial dengan banjir, peningkatan suhu, tanah runtuh dan gangguan bekalan makanan semakin kerap berlaku.

Lee berkata di sebalik perkembangan itu, Malaysia terus menangani perubahan iklim melalui dasar yang terpisah dan komitmen yang tidak mengikat menyebabkan tindakan iklim yang tidak konsisten dan terdedah kepada kitaran politik.

“RUU Perubahan Iklim bukan mengenai penambahan birokrasi tetapi mengenai mewujudkan kepastian. Perniagaan, pelabur, pihak berkuasa tempatan dan komuniti memerlukan isyarat yang jelas serta boleh diramal mengenai hala tuju negara.

“Apabila matlamat iklim disandarkan kepada undang-undang, dasar menjadi lebih koheren, peralihan lebih teratur dan perancangan lebih dipercayai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata kepastian seperti itu amat penting untuk menarik pelaburan berkualiti dalam tenaga boleh diperbaharui, teknologi hijau, kewangan lestari dan infrastruktur berdaya tahan iklim yang penting untuk ekonomi jangka panjang.

Beliau berkata RUU yang dicadangkan itu mesti mentakrifkan dengan jelas komitmen iklim Malaysia termasuk sasaran mitigasi dan adaptasi yang sejajar dengan kewajipan antarabangsa serta disokong oleh pelaporan yang telus, kajian semula secara berkala dan mekanisme yang boleh dikuatkuasakan.

Lee berkata perubahan iklim telah menjadi isu keadilan sosial, dengan kumpulan yang terdedah termasuk isi rumah berpendapatan rendah, komuniti Orang Asli, petani kecil dan pekerja luar berhadapan risiko lebih besar akibat cuaca ekstrem serta peningkatan suhu.

Beliau berkata RUU itu mesti mengutamakan perlindungan kesihatan, keselamatan dan mata pencarian kumpulan yang terdedah melalui langkah yang saksama dan berpusatkan rakyat.

Lee berkata koordinasi yang jelas pada peringkat Persekutuan, negeri serta kerajaan tempatan penting kerana pihak berkuasa tempatan sering berada di barisan hadapan kesan iklim tetapi kurang panduan dan sumber yang konsisten selain ketelusan dan pengawasan bebas diperlukan untuk memperkukuh kepercayaan awam.

“RUU Perubahan Iklim memberi isyarat bahawa Malaysia sedang bersedia untuk masa hadapan dan bukan sekadar bertindak balas kepada krisis. Akhirnya, RUU seperti ini pernyataan tanggungjawab. Ia mengesahkan bahawa melindungi nyawa, mata pencarian dan generasi akan datang ialah tugas utama tadbir urus.

“Perubahan iklim bukan masalah untuk hari esok. Perkara ini sudah berlaku dan Parlimen mesti bertindak sekarang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan