JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI ORANG ASLI CEDERA DITARIK GAJAH KE DALAM GAUNG DI GERIK

14/12/2025 03:01 PM

IPOH, 14 Dis (Bernama) -- Seorang lelaki Orang Asli cedera pada bahagian muka dan badan selepas ditarik seekor gajah ke dalam gaung di Jalan Kampung Pengkalan Permai, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Air Banun di Gerik semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Samad Othman dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 4.26 petang.

Beliau berkata siasatan mendapati kira-kira 9.30 pagi, sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki Orang Asli berusia 34 tahun (abang) dan sebuah motosikal lagi yang ditunggang adik lelakinya berumur 30 tahun bersama pembonceng iaitu rakan lelakinya yang juga Orang Asli keluar untuk mencari hasil hutan.

“Apabila sampai di lokasi, penunggang motosikal pertama (abang) yang berada di hadapan ternampak seekor gajah di tepi jalan serta mengambil tindakan memecut laju ke hadapan melintasi gajah itu.

“Adiknya bersama rakan tidak sempat melepasi gajah dan mengambil tindakan memberhentikan motosikal untuk menyelamatkan diri tetapi secara tiba-tiba gajah telah menarik penunggang motosikal hingga menyebabkan mangsa terjatuh terus ke gaung manakala pembonceng sempat melarikan diri,” katanya.

Abdul Samad berkata akibat kejadian itu, penunggang motosikal kedua yang terjatuh ke dalam gaung mengalami kecederaan pada bahagian muka dan sakit pada badan serta dirujuk ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan.

Beliau bagaimanapun berkata penunggang motosikal pertama (abang) dan pembonceng motosikal kedua (rakan) tidak mengalami sebarang kecederaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan