DUNIA

RUSIA MULAKAN PERSIAPAN PELANCARAN SATELIT PENYELIDIKAN BION-M NO. 3 PADA 2026

14/12/2025 08:20 PM

MOSCOW, 14 Dis (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Rusia akan memulakan persiapan untuk melancarkan satelit penyelidikan Bion-M No. 3 pada 2026, lapor Sputnik/RIA Novosti, memetik kenyataan perbadanan  angkasa lepas negara Rusia, Roscosmos pada Ahad.

“Persiapan untuk pelancaran Bion-M No. 3 akan bermula pada 2026. Tujuan pelancaran adalah untuk mengkaji faktor penerbangan angkasa dalam keadaan pendedahan radiasi yang lebih tinggi,” kata Roscosmos di Telegram.

Bion-M No. 3 akan diletakkan ke orbit lebih tinggi berbanding pendahulunya, Bion-M No. 2, pada ketinggian kira-kira 800 kilometer (497 batu) dengan kecondongan orbit yang sama sekitar 97 darjah, kata Roscosmos.

Bion-M No. 2 membawa 75 ekor tikus dan 1,500 ekor lalat Drosophila ke orbit pada Ogos lepas untuk menguji kesan biologi persekitaran angkasa di orbit latitud tinggi, kerana ia mempunyai lebih banyak radiasi kosmik dan keadaan geomagnetik berbanding orbit tradisional dengan kecondongan antara  50 hingga 60 darjah.

--BERNAMA-SPUTNIK

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan