SUNGAI BESAR, 14 Dis (Bernama) -- Kira-kira 308,000 pertubuhan di seluruh Selangor bakal terlibat dalam Banci Ekonomi 2026 (BE2026), kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam satu kenyataan hari ini, DOSM berkata daripada jumlah itu, 74.1 peratus adalah pertubuhan mikro diikuti kecil (24.6 peratus), besar (4.7 peratus) manakala sederhana (1.5 peratus).
“Dari segi pecahan mengikut sektor pula, perkhidmatan mengungguli peratusan tertinggi iaitu sebanyak 83.8 peratus (258,909), diikuti sektor pembinaan 8.6 peratus (26,512).
“Sektor pembuatan merupakan ketiga tertinggi dengan 6.6 peratus (20,343) diikuti pertanian 0.8 peratus (2,454) manakala perlombongan dan pengkuarian pula 0.2 peratus (643),” menurut kenyataan itu.
DOSM hari ini menganjurkan Program Pelaksanaan BE2026 Daerah Sabak Bernam di Laman Rasa di sini, yang dirasmikan oleh Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Dalam pada itu, Mohd Uzir ketika ditemui berkata struktur perniagaan di Sabak Bernam didominasi oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana, khususnya pertubuhan mikro, dengan tumpuan aktiviti tertinggi di kawasan Sungai Besar dan Sekinchan yang menjadi pusat komersial setempat.
Mengulas lanjut, beliau berkata berdasarkan rekod awal BE2026, daerah itu merekodkan 213 pertubuhan sektor informal termasuk penjaja, kedai runcit kecil dan perniagaan berasaskan komuniti, selain 90 pengusaha inap desa yang menyokong pengembangan agro-pelancongan tempatan.
Katanya, industri tumpuan di Sabak Bernam merangkumi pemprosesan makanan, khususnya industri kerepek dan produk makanan ringan yang banyak beroperasi di sekitar Sungai Besar, Parit Baru dan Sekinchan.
“Ekosistem perniagaan setempat turut disokong oleh rangkaian pasar utama dengan tujuh pasar awam yang menempatkan 635 outlet, menjadikan daerah ini antara pusat hasil tani, makanan laut dan produk agro yang aktif di negeri Selangor.
“Gabungan aktiviti formal dan informal ini menjadikan Sabak Bernam kawasan signifikan dalam BE2026, khususnya dari perspektif pembangunan luar bandar dan pemerkasaan ekonomi mikro,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata analisis BE2026 kelak akan disusun sehingga peringkat granular yang merangkumi data mengikut daerah, mukim dan jenis aktiviti ekonomi.
“Pendekatan ini membolehkan analisis ekonomi yang lebih mendalam dan bersifat setempat, sejajar dengan prinsip ‘no one and no place left behind’ dalam pembangunan sosioekonomi.
“Penyertaan semua pertubuhan termasuk di kawasan bandar dan luar bandar seperti Sabak Bernam amat penting bagi memastikan data yang dihasilkan tepat, boleh dipercayai, dan mencerminkan kepelbagaian ekonomi sebenar,” katanya.
Bertemakan ‘Data Nadi Ekonomi Rakyat’, BE2026 akan dilaksanakan di seluruh negara bermula Februari hingga Oktober 2026 melibatkan semua pertubuhan perniagaan dan ‘pertubuhan bukan berasaskan keuntungan’ di Malaysia termasuk semua sektor ekonomi iaitu pertanian, pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta perkhidmatan.
-- BERNAMA
