EKONOMI

CILTM SABAH BANTU PERKASA SEKTOR LOGISTIK, SOKONG PELAN INDUK KOMPREHENSIF

14/12/2025 10:23 PM

KOTA KINABALU, 14 Dis (Bernama) -- Institut Bertauliah Logistik dan Pengangkutan Malaysia (CILTM) Seksyen Sabah mengesahkan kedudukannya sebagai peneraju utama industri dalam membentuk pembaharuan logistik dan pengangkutan Sabah, selepas memberikan sokongan berterusan, pembangunan profesional dan penglibatan dasar selama dua dekad.  

Pengerusi CILTM Seksyen Sabah Daniel Doughty berkata institut itu secara konsisten berusaha mengukuhkan struktur, kredibiliti dan penyelarasan ekosistem logistik di Sabah, yang memacu peristiwa penting institusi itu sepanjang tahun lalu. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Gala CILTM Sabah 2025, perhimpunan tahunan yang mengiktiraf sumbangan pemain industri logistik dan pengangkutan dari Sabah dan Labuan. 

“Penubuhan Majlis Logistik Sabah pada 2024 menandakan titik perubahan, kerana buat kali pertama semua jenis pengangkutan dan dasar rantaian bekalan berada di bawah satu platform penyelarasan,” katanya pada majlis makan malam yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini malam tadi. 

Beliau berkata CILTM Sabah telah lama menyokong tadbir urus dan kepimpinan yang lebih kukuh dalam sektor pengangkutan, sambil menekankan bahawa logistik bukan sekadar pengendali tetapi sebagai pemudah cara strategik akses ekonomi, pelaburan dan pertumbuhan. 

“Kami sentiasa konsisten ketika menyampaikan mesej, kepimpinan sektor pengangkutan mesti dipertingkatkan, bukan untuk prestij, tetapi untuk memastikan kuasa, penjajaran pembiayaan dan kebertanggungjawaban berada di peringkat tertinggi,” katanya. 

Katanya, sokongan itu diperkukuhkan menerusi penubuhan Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET), yang disifatkan sebagai ‘set semula strategik’ bagi pembangunan logistik dan perindustrian Sabah.  

Daniel berkata sumbangan CILTM Sabah adalah berdasarkan sejarahnya selama 19 tahun, iaitu sejak penubuhannya pada 17 April 2006, iaitu apabila pemimpinnya berjaya membina komuniti profesional logistik dan pengamal pengangkutan yang kukuh berpandukan kecekapan serta integriti. 

“Menjelang ulang tahun ke-20 penubuhan kami pada tahun hadapan, seksyen ini telah mengharungi pelbagai cabaran dan peralihan, tetapi komitmen terhadap input dasar berasaskan bukti dan perwakilan industri tetap teguh,” katanya. 

Beliau menambah memandangkan majlis logistik kini berada di bawah MINDET, Sabah berada dalam kedudukan yang berbeza apabila struktur dasar dan peluang diselaraskan, tetapi menegaskan bahawa kejelasan dan pelaksanaan berdisiplin menjadi lebih kritikal. 

Oleh itu, bagi mengekalkan momentum, Daniel berkata CILTM Sabah sangat menyokong pembangunan Pelan Induk Logistik dan Pengangkutan yang komprehensif untuk Sabah, bagi membimbing jujukan projek, penyelarasan dasar dan peruntukan sumber. 

“Pada tahap pembangunan Sabah ketika ini, tidak mempunyai pelan induk logistik dan pengangkutan merupakan risiko strategik.

“Pelan induk memberikan kejelasan mengenai keutamaan dan membolehkan pelaksanaan yang berkesan,” katanya. 

Beliau juga berkata CILTM Malaysia sentiasa bersedia untuk menyokong Sabah dengan kepakaran profesional, bebas dan dipacu data, termasuk memberi nasihat teknikal dalam bidang seperti perancangan rel, integrasi pelbagai mod, operasi dan keselamatan. 

Pada masa sama, Daniel menegaskan bahawa logistik adalah asas kepada semua sektor, daripada minyak dan gas kepada pelancongan, pembuatan, perusahaan kecil dan sederhana, jadi apabila kecekapan meningkat, ia akan membuka laluan kepada peningkatan hasil. 

“Logistik menentukan sama ada peluang akan sampai kepada orang ramai atau memintas mereka. Jika pembangunan Sabah adalah cerita, jadi logistik adalah pena,” katanya. 

Bagi CILTM Sabah, katanya, tetap kekal komited untuk bekerjasama dengan MINDET, pemain industri dan komuniti yang lebih luas untuk menyokong perindustrian dan daya saing jangka panjang di Sabah,” katanya.  

--BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan