EKONOMI

CILT MALAYSIA SABAH IKTIRAF KECEMERLANGAN INDUSTRI, SERLAH PEMBAHARUAN SEKTOR

15/12/2025 01:04 PM

KOTA KINABALU, 15 Dis (Bernama) -- Industri logistik dan pengangkutan di Sabah dan Labuan menjadi tumpuan malam tadi apabila Seksyen Institut Logistik dan Pengangkutan Bertauliah Malaysia (CILTM) Sabah memberi pengiktirafan terhadap kecemerlangan industri berkenaan.

Majlis itu turut menyorot pembaharuan institusi penting yang membentuk masa depan sektor tersebut.

Majlis Makan Malam Gala dan Anugerah 2025 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu mengiktiraf organisasi dan individu terhadap sumbangan mereka yang terus memperkukuh perdagangan serantau, mobiliti dan daya tahan rantaian bekalan.

Majlis tersebut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) Suhaib Ismail, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim dan Timbalan Presiden CILTM Dr. Zawiah Abdul Majid.

Sementara itu, Pengerusi Seksyen CILTM Sabah Daniel Doughty berkata logistik merupakan struktur yang menentukan sama ada peluang sampai kepada rakyat atau sebaliknya selain menekankan peranan pusat sektor berkenaan dalam pembangunan ekonomi.

Beliau menekankan pencapaian penting yang diraih melalui usaha advokasi industri yang berterusan termasuk penubuhan Majlis Logistik Sabah pada 2024 dan pengiktirafan pengangkutan dalam kepimpinan kementerian melalui penubuhan MINDET.

"Ini bukan kemenangan simbolik tetapi pembetulan struktur dengan meletakkan kuasa, koordinasi dan tanggungjawab di tempat yang sepatutnya," katanya pada Malam Makan Malam Gala CILT Sabah 2025 di sini malam tadi.

Doughty juga menggesa supaya dibangunkan Pelan Induk Logistik dan Pengangkutan Sabah yang komprehensif dengan menekankan iaitu tanpa rangka kerja pembuatan keputusan yang bersatu, projek akan bersaing, dasar akan terpecah dan sumber akan kehilangan impaknya.

Beliau berkata CILTM akan terus menyokong Sabah melalui khidmat nasihat teknikal yang profesional, bebas dan berasaskan data termasuk kepakaran dalam perancangan kereta api sementara negeri ini meneroka koridor pengangkutan baharu dan strategi industri.

Satu lagi peristiwa penting pada malam tersebut adalah penyertaan rasmi penerima anugerah yang berpangkalan di Labuan buat kali pertama selain mencerminkan mandat Seksyen Sabah yang diperluas untuk berkhidmat kepada Sabah dan Labuan sebagai satu ekosistem logistik tunggal yang saling melengkapi.

Labuan diletakkan bukan sebagai pesaing, tetapi sebagai kelebihan maritim dan logistik luar pesisir Sabah terutamanya dalam minyak dan gas, perkhidmatan maritim dan kewangan antarabangsa.

Antara penerima anugerah Syarikat Logistik Terbaik Tahun Ini (Perusahaan Besar) ialah MTT Shipping & Logistics Bhd, Sailion Shipping Sdn Bhd dan TS Shipping and Forwarding Sdn Bhd manakala Asia Shipping and Forwarding (Sabah) Sdn Bhd dan DB Logistics Sdn Bhd diiktiraf di bawah kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Anugerah Pengendali Perkhidmatan Pengangkutan Cemerlang disandang CT Forwarding and Transport Sdn Bhd dan Binabalu Sdn Bhd (Galaxy Ferry) manakala Anugerah Kecemerlangan Pelabuhan dan Terminal diterima oleh DPW Sabah Sdn Bhd, POIC Sabah Sdn Bhd dan Megah Port Management Sdn Bhd.

Sabah Ports Sdn Bhd menerima Anugerah Kecemerlangan Hijau dan Lestari.

Penghormatan individu termasuk anugerah Profesional Logistik dan Pengangkutan Terbaik kepada Datuk Johnson Dai dari Enotrans Sdn Bhd dan David Agang dari Asian Supply Base Sdn Bhd di samping Anugerah Pencapaian Muda serta Anugerah Wanita dalam Logistik dan Pengangkutan yang mengiktiraf profesional yang baru muncul dan mantap dalam industri ini.

Anugerah Pengiktirafan Khas untuk Dedikasi dan Kehormatan Cemerlang juga disampaikan kepada beberapa tokoh kanan atas sumbangan jangka panjang mereka kepada sektor berkenaan.

Menjelang ulang tahun ke-20 penubuhan Seksyen CILTM Sabah pada 2026, institut ini menegaskan semula komitmennya untuk terus berkhidmat kepada Sabah dan Labuan melalui kepimpinan profesional, advokasi dasar dan pembangunan industri dengan kerjasama MINDET dan pihak berkepentingan industri.

“Jika pembangunan Sabah merupakan ceritanya, maka logistik adalah penanya. Malam ini, kita mengiktiraf mereka yang menulis bab-bab terkukuh dan kita komited untuk menulis bab yang lebih baik bersama-sama,” kata Doughty.

--BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan