MELAKA, 15 Dis (Bernama) -- Media adalah rakan strategik pembangunan bagi kerajaan negeri dan bukan sekadar pemerhati, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata media yang berintegriti dan berwibawa berupaya membantu membentuk masyarakat berilmu, berfikiran kritis serta bersatu padu.
Menurut Ab Rauf, laporan yang tepat dan naratif yang adil pula mampu memperkukuh keyakinan rakyat terhadap dasar kerajaan, di samping menjadi mekanisme semak dan imbang yang sihat dalam sistem demokrasi.
“Seiring dengan tema ‘Integriti Dalam Informasi, Wibawa Dalam Naratif’, kerajaan Melaka kekal komited untuk mengamalkan tadbir urus berintegriti, keterbukaan maklumat dan komunikasi berfakta.
“Justeru, saya berharap agar pengamal media akan terus menjunjung tinggi prinsip integriti dalam penyampaian maklumat serta kebijaksanaan dalam membina naratif, selaras dengan aspirasi membina Melaka ke arah sebuah negeri yang maju, sejahtera dan berteraskan nilai murni,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Media Ketua Menteri Melaka 2025 di sini malam tadi.
Ab Rauf berkata kerajaan negeri juga sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan media dalam menyampaikan maklumat yang sahih dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.
Beliau berkata kerajaan negeri percaya hubungan yang dibina atas dasar kepercayaan dan profesionalisme akan melahirkan ekosistem maklumat yang sihat serta berwibawa.
Sementara itu, Ab Rauf berkata Anugerah Media Ketua Menteri Melaka diwujudkan bagi menghargai pengamal media yang bukan sahaja cemerlang dalam pelaporan, malah konsisten mempertahankan integriti dan kewibawaan dalam setiap karya kewartawanan atau karya kandungan kreatif yang diterbitkan di dalam platform digital.
Beliau berkata Anugerah Media Ketua Menteri Melaka diharap terus menjadi pemangkin kepada kewartawanan yang bertanggungjawab dan berwibawa.
“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua penerima anugerah pada malam ini. Sesungguhnya usaha dan dedikasi saudara dan saudari menjadi contoh terbaik pada landskap media yang beretika dan berwibawa,” katanya.
Pada majlis itu, lebih 100 pengamal media daripada pelbagai agensi dan pempegaruh digital diraikan menerusi 14 kategori anugerah bagi menghargai peranan golongan berkenaan.
Pada malam itu juga, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berjaya merangkul dua anugerah media menerusi wartawan yang juga Ketua Biro Bernama Melaka Mohd Fakri Awang Lah dan jurufoto Muhammad Zulhilmi Daud.
Mohd Fakri memenangi Anugerah Laporan Berita TV Cemerlang (Jebat) manakala Muhammad Zulhilmi menang kategori Anugerah Kewartawanan Foto Cemerlang (Jebat) dan kedua-dua mereka masing-masing membawa pulang wang tunai RM500 dan sijil.
Selain itu, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj turut menerima Anugerah Khas Ketua Menteri Melaka yang membawa pulang RM1,000 serta plak dan sijil.
-- BERNAMA
