KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Malaysia dijangka mampu menghasilkan satu juta tan metrik bahan api penerbangan mampan (SAF) menjelang 2028, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata jumlah itu akan dihasilkan menerusi dua kemudahan pengeluaran SAF dalam negara, dengan satu daripadanya kini sedang dibangunkan oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
“Sekarang kita sudah ada (kilang pengeluaran SAF berkapasiti) 350,000 tan metrik oleh sebuah syarikat dari Hong Kong (iaitu) EcoCeres manakala Petronas pula sedang membina kemudahan berkapasiti 650,000 tan metrik.
“Keseluruhannya, apabila siap pada 2028, kita mempunyai pengeluaran satu juta tan metrik SAF,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Che Alias Hamid mengenai pelan khusus kerajaan bagi menjamin kestabilan bekalan bahan mentah dalam menyokong pengeluaran SAF.
Johari berkata untuk menjamin bekalan bahan mentah untuk pengeluaran SAF pada masa akan datang, kerajaan akan menghentikan eksport minyak masak terpakai (UCO) serta mengamalkan strategi ekonomi kitaran dalam aktiviti perladangan untuk mendapatkan bekalan yang cukup.
Bagi menggalakkan pelaburan dalam industri pengeluaran SAF, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah termasuk memudahkan proses kelulusan lesen untuk kegiatan berkaitan seperti lesen pembinaan loji, lesen pengeluaran SAF dan lesen untuk mengeksport SAF, katanya.
“Kerajaan akan sentiasa membantu dan memudah cara penggiat industri yang berminat untuk beroperasi di Malaysia. Langkah ini merupakan satu isyarat sokongan penuh kerajaan kepada pelabur yang ingin berkecimpung dalam industri SAF,” katanya.
-- BERNAMA
