AM

HRPZ II CIPTA SEJARAH, LAKSANA PEMBEDAHAN LUTUT GUNA REKNOLOGI ROBOTIK PERTAMA DI KELANTAN

15/12/2025 04:29 PM

KOTA BHARU, 15 Dis (Bernama) -- Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) mencatat sejarah tersendiri dalam perkhidmatan ortopedik di negeri ini apabila berjaya melaksanakan pembedahan penggantian sendi lutut menggunakan teknologi robotik buat pertama kali, hari ini.

Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Dr Mohd Azman Yacob, berkata kejayaan itu menjadikan HRPZ II sebagai hospital pertama di Kelantan dan Pantai Timur yang menggunakan teknologi robotik bagi prosedur berkenaan.

Beliau berkata HRPZ II turut menjadi hospital Kementerian Kesihatan (KKM) ketiga di negara ini yang melaksanakan pembedahan berkenaan selepas Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 2022, diikuti Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

“Penggunaan teknologi robotik ini memberi kelebihan kepada pesakit dari segi ketepatan pembedahan yang lebih tinggi, pengurangan kesakitan selepas pembedahan serta tempoh pemulihan yang lebih singkat dan berkesan.

“Pembedahan pertama membabitkan seorang warga emas, Mohd Jilani Jaffar, 63, yang mengalami masalah sakit sendi lutut sejak beberapa tahun lalu,” katanya pada sidang media Pembedahan Menggunakan Teknologi Robotik Bilateral Total Knee Replacement (TKR) Pertama di Kelantan di HRPZ II, di sini, hari ini.

Dr Mohd Azman berkata teknologi robotik itu membolehkan pakar bedah merancang prosedur pembedahan secara lebih terperinci melalui imej tiga dimensi masa nyata, pengesanan imbangan ligamen serta penentuan sudut dan ketebalan pemotongan tulang dengan ketepatan tinggi.

“Ketepatan ini dapat mengurangkan risiko ketidaksejajaran dan meminimumkan variasi hasil pembedahan antara operator. Pesakit juga berpotensi mengalami pendarahan dan trauma tisu yang minimum serta dapat bergerak lebih awal berbanding kaedah konvensional,” katanya.

Beliau berkata HRPZ II mempunyai tiga pakar bedah terlatih bagi mengendalikan pembedahan berkenaan dan menyediakan dua slot pembedahan setiap minggu melibatkan enam pesakit dengan kos berpatutan, manakala golongan B40 boleh mendapatkan rawatan secara percuma melalui tabung bantuan perubatan.

Menurutnya, hospital itu melaksanakan kira-kira 150 pembedahan penggantian sendi setiap tahun, termasuk 110 pembedahan lutut dengan 19 kes melibatkan pembedahan bilateral.

“Tahun lalu, sebanyak 80 penggantian sendi lutut dilaksanakan dan 25 daripadanya membabitkan pembedahan bilateral dalam satu sesi, sekali gus menjadikan HRPZ II antara hospital KKM paling aktif melaksanakan prosedur ini di negara ini,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan