AM

ADUN KUAMUT CADANG TAMBAH KEMUDAHAN INTERNET STARLINK DI PEDALAMAN

15/12/2025 03:44 PM

KOTA KINABALU, 15 Dis (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah mencadangkan supaya pemasangan Internet satelit Starlink diperluas ke kawasan luar bandar dan pedalaman bagi memastikan penduduk setempat dapat menikmati kemudahan berkenaan serta tidak ketinggalan dalam akses digital.

Masiung (GRS-Kuamut) berkata inisiatif diperkenalkan Kementerian Komunikasi itu dilihat memberi impak besar kepada masyarakat terutama pelajar di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah, yang masih berdepan dengan kekurangan kemudahan capaian Internet.

“Ada program kementerian untuk beri Internet, beri Internet kepada luar bandar yang dipanggil Starlink. Ini program bagus. Jadi kita minta Menteri berkenaan tambah dan kalau boleh setiap kampung (ada kemudahan Internet satelit Starlink).

“Kita mahu program ini dihebahkan, dibesarkan, dilebarkan kepada kampung-kampung kerana ini banyak membantu pelajar-pelajar kita mendapatkan akses Internet,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 Sabah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Setakat ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memasang peranti Starlink di beberapa kawasan pedalaman dan terpencil termasuk dua lokasi di Papar, Keningau (dua lokasi), Tawau (dua lokasi), serta masing-masing satu lokasi di Kudat, Ranau, Tuaran dan Nabawan.

Dalam perkembangan lain, Masiung turut memuji keberhasilan kerajaan Sabah menerusi pelbagai dasar baharu yang diperkenalkan termasuk pembangunan modal insan, bantuan pendidikan serta agenda perumahan rakyat menerusi Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ), sambil menekankan kepentingan pelaksanaan lebih cekap di peringkat jabatan dan agensi di negeri itu.

Masiung juga menegaskan kepentingan mempercepat penyampaian program kerajaan negeri seperti bantuan pendidikan RM200 bagi Tingkatan Lima dan Enam, selain bantuan kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma serta ijazah agar mereka dapat segera menikmati manfaatnya.

Sementara itu, Masiung menggesa kerajaan Sabah meneliti potensi sumber mineral baharu seperti emas, arang batu dan nadir bumi sebagai pemangkin ekonomi jangka panjang, selain mempercepat penubuhan jawatankuasa khas bagi merumuskan mekanisme tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah.

“Ini kerana kita mahu supaya mana-mana belanjawan yang sudah dibentang di sini akan dibelanjakan semaksimumnya hingga akhir tahun. Kita ingin melihat negeri ini maju, negeri kita ini aman, negeri kita ini stabil politik,” katanya sambil menyatakan sokongan kepada Belanjawan Sabah 2026.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan