DUNIA

TREND PEMBANGUNAN CHINA TIDAK DAPAT DIHALANG – DIPLOMAT SINGAPURA KISHORE MAHBUBANI

15/12/2025 03:19 PM

BEIJING, 15 Dis (Bernama-CMG) -- Rancangan Lima Tahun (FYP) ke-15 bagi Pembangunan Ekonomi dan Sosial China yang memberi keutamaan kepada pembangunan bermutu tinggi merupakan satu keputusan yang amat bijak, kata bekas Wakil Tetap Singapura ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kishore Mahbubani dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.

Baru-baru ini, China telah mengadakan Sidang Kerja Ekonomi Pusat bagi menggariskan hala tuju pembangunan ekonomi negara untuk 2026, sekali gus meletakkan asas kepada pelaksanaan FYP-15 bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Mahbubani turut memberikan penilaian positif terhadap komitmen China yang menekankan pembangunan jangka panjang. 

Pada awal November lalu, beliau menyertai Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) buat kali pertama dan menyifatkan pengalamannya itu sebagai amat mengujakan.

Beliau berkata China merupakan satu-satunya negara di dunia yang menganjurkan ekspo import khusus. 

Menurut Mahbubani, negara-negara Barat sering menuntut supaya China melayan mereka secara adil dalam perdagangan antarabangsa.

“Negara-negara itu sebelum ini mengimport pelbagai barangan dari seluruh dunia. Mereka berupaya menganjurkan ekspo import, namun tidak berbuat demikian,” katanya.

Beliau turut menyifatkan langkah China menurunkan kadar tarif ke tahap sifar bagi produk import dari negara-negara Afrika sebagai satu keputusan amat signifikan yang mampu menyokong pembangunan benua itu. 

“Pada pandangan saya, menghentikan sekatan terhadap China merupakan tindakan yang bijak bagi Amerika Syarikat kerana trend pembangunan China tidak dapat dihalang,” kata Mahbubani.

-- BERNAMA-CMG

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan