KOTA BHARU, 15 Dis (Bernama) -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengenal pasti dua komponen utama bagi pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI di Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Bahar di sini.
Naib Canselor UMK Datuk Prof Dr Arham Abdullah berkata program itu dilaksanakan menerusi peruntukan RM100,000 yang disediakan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan di bawah inisiatif Sekolah Angkat MADANI.
Beliau berkata daripada jumlah itu, RM80,000 diperuntukkan bagi komponen pertama melibatkan penambahbaikan prasarana pusat sumber sekolah yang akan dibangunkan berinspirasikan konsep perpustakaan digital.
“Baki RM20,000 pula digunakan bagi komponen kedua iaitu pelaksanaan tiga program pembangunan merangkumi pembangunan akademik, pembentukan sahsiah dan program lain yang melibatkan murid serta guru,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Majlis Peluncuran Program Sekolah Angkat MADANI SK Raja Bahar di sekolah berkenaan hari ini.
Arham berkata SK Raja Bahar dipilih sebagai sekolah angkat UMK berikutan komitmen tinggi kepimpinan sekolah, potensi murid yang baik serta sokongan padu warga sekolah.
“Kami yakin dengan bimbingan berterusan serta persekitaran kondusif, sekolah ini mampu menjadi contoh sekolah abad ke-21 yang menggabungkan pembelajaran konvensional dan digital secara seimbang,” katanya.
Arham berkata program berkenaan menjadi wadah kepada UMK untuk menyalurkan kepakaran akademik dan pengalaman universiti ke peringkat sekolah rendah agar manfaat pendidikan dapat dirasai seawal mungkin.
Beliau berkata menerusi kerjasama itu, sekolah berkenaan turut diberi akses pinjaman bahan bacaan secara percuma di Perpustakaan UMK selain perbincangan sedang dijalankan bersama Jabatan Pendidikan Negeri bagi memperluaskan inisiatif itu ke sekolah lain.
“Inisiatif ini membolehkan impak universiti disalurkan secara langsung kepada masyarakat khususnya dalam aspek pinjaman buku dan sokongan pendidikan,” katanya.
Terdahulu, sebanyak 19 murid SK Raja Bahar menerima bantuan kelengkapan sekolah serta wang tunai RM100 setiap seorang.
-- BERNAMA
