AM

HOME MATHS THERAPY DINOBAT FRANCAIS TERBAIK DI MFA 2025

16/12/2025 12:35 AM

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- House of Mind Excellence (HOME) Maths Therapy dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Francais Terbaik pada Anugerah Francais Malaysia (MFA) 2025 yang berlangsung di sini malam ini, sekali gus mengekalkan pengiktirafan berkenaan bagi dua tahun berturut-turut.

Pusat pembelajaran matematik itu turut menerima anugerah Francaisor Terbaik, Francaisi Single-Unit Terbaik, Francaisi Multi-Unit Terbaik, Inovasi Francais Terbaik, Tanggungjawab Sosial dan Korporat Terbaik, serta Tadbir Urus Francais Terbaik.

Majlis anugerah berprestij itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Ahmad Zahid dalam ucapannya menzahirkan ucapan tahniah kepada semua penerima anugerah atas kejayaan dan sumbangan mereka dalam memperkukuh industri francais negara.

“Hari ini, Malaysia dengan bangganya merekodkan lebih 2,060 perniagaan francais berdaftar di bawah Pendaftar Francais (RoF), mencerminkan trajektori peningkatan yang kukuh dipacu oleh inovasi, keyakinan dan profesionalisme industri.

“Sambutan malam ini bukan sekadar penutupan kepada satu lagi tahun yang berjaya bagi sektor francais, tetapi merupakan penegasan semula kepada kepercayaan bersama bahawa jenama Malaysia bersedia untuk memimpin pada peringkat tempatan, dan juga bersaing, cemerlang dan menyerlah di pentas global," katanya.

Turut hadir, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang menjalankan tugas dan fungsi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan serta Pengerusi Persatuan Francais Malaysia Datuk Dr Radzali Hassan.

Pada majlis itu juga berlangsung pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Francais Malaysia dengan rakan strategiknya, SME Bank, bertujuan memperkukuh pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya francaisor dan francaisi di Malaysia.

Menerusi kenyataan, Radzali berkata kerjasama itu memperkukuh ekosistem francais melalui pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif bersama, dengan terus menyokong pembangunan industri francais melalui perkongsian kepakaran, kemudahan pembiayaan, dan promosi pasaran global. 

“Usaha ini akan memanfaatkan francaisor dan francaisi tempatan dalam mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih kompetitif pada peringkat global," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan