KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Institusi kewangan, badan pelaburan dan pemain pasaran modal di negara ini disaran mempertimbangkan harta intelek (IP) sebagai bentuk cagaran khususnya bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta syarikat permulaan, dalam usaha membangunkan ekosistem IP yang lebih mampan dan berdaya saing.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata ketika ini, aset tak ketara semakin pantas mengatasi aset fizikal dalam menentukan daya saing sesebuah syarikat dan negara.
“Justeru, Malaysia tidak boleh kekal di pinggiran reformasi ini dan perlu mempunyai ekosistem penilaian yang dipercayai, telus dan selaras dengan piawaian global.
“Ia bukan sekadar memerlukan penilai terlatih, tetapi turut menuntut anjakan pemikiran dalam kalangan institusi yang menyokong pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan Anggota Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Syed Ahmad Abdul Rahman pada Majlis Graduasi Program Intensif Penilai Harta Intelek dan Peperiksaan MyIPO (Value) 2025, di sini hari ini.
Armizan berkata negara-negara peneraju inovasi ialah yang sistem kewangannya mengiktiraf kepelbagaian nilai sebagai asas ekonomi masa depan, justeru, Malaysia perlu bergerak ke arah itu.
Menurutnya, Malaysia kini memiliki kumpulan penilai IP terlatih serta rangka kerja penilaian semakin berkembang melalui MyIPO, selari dengan peralihan ekonomi negara yang dipacu oleh teknologi dan kreativiti.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan melalui MyIPO sedang mengkaji pindaan Akta Perbadanan Harta Intelek Malaysia 2002 bagi memperkenalkan rangka kerja kawal selia lebih baik, sekali gus menjadikan Malaysia antara negara pertama di ASEAN yang mengiktiraf penilai IP secara rasmi.
Beliau berkata Malaysia turut bertekad membina ekosistem profesional penilaian yang lestari serta memperdalam kerjasama institusi dengan Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO), ASEAN, universiti dan industri.
“Kita juga akan memacu penggunaan amalan penilaian yang lebih meluas merentasi sektor bergantung kepada inovasi bagi meletakkan Malaysia sebagai hab serantau untuk kecemerlangan penilaian IP dan memastikan setiap pencipta tempatan mempunyai akses kepada kepakaran penilaian bertaraf dunia,” katanya.
Pada majlis itu, sebanyak 35 penilai IP bertauliah berjaya dilahirkan menerusi program berkenaan yang disifatkan sebagai satu pencapaian penting dalam usaha berterusan kerajaan membangunkan ekosistem harta intelek negara.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam melahirkan kumpulan profesional penilaian harta intelek tempatan yang berkeupayaan tinggi, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekonomi berasaskan pengetahuan,” katanya.
-- BERNAMA
