AM

1,835 PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI DI PERAK SEPANJANG TAHUN INI

16/12/2025 07:38 PM

GOPENG, 16 Dis (Bernama) -- Sebanyak 1,835 Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) dilaksanakan di Perak sepanjang tahun ini yang telah memberi manfaat kepada lebih dua juta orang.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 94.6 peratus berbanding tahun lepas yang merekodkan 943 PJRM.

“KPDN komited akan terus menganjurkan PJRM bagi memastikan rakyat Perak terus mendapat manfaat daripada pembelian pelbagai barangan asas dengan potongan harga sekitar 10 hingga 30 peratus,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Jiwa Murni Pengguna Mesra Bersama Komuniti Orang Asli Ulu Geruntum dan Fun Ride For Rahmah di sini hari ini.

Kamalludin berkata pihaknya juga melaksanakan PJRM Kembali ke Sekolah 2026 di 58 lokasi pada bulan ini dan Januari bagi membantu ibu bapa mendapatkan keperluan sekolah anak-anak pada harga yang lebih rendah berbanding pasaran.

“Penganjurannya amat bermakna kerana memberi peluang kepada setiap ibu bapa mendapatkan baju sekolah, kasut, beg dan alat tulis pada harga berpatutan,” katanya.

Mengenai program hari ini, beliau berkata ia julung-julung kali diadakan dengan kerjasama KPDN Selangor selain bertujuan menyantuni penduduk Orang Asli di Ulu Geruntum bagi memastikan golongan itu mendapat maklumat berkaitan kemudahan dan bantuan kos sara hidup yang disediakan kerajaan.

Beliau berkata program berkenaan sedikit sebanyak membuka ruang kepada pihaknya menerangkan tentang bidang tugas KPDN selaku antara entiti yang melaksanakan dasar kerajaan.

“Kita melaksanakan program advokasi bersama penduduk di sini sebab mereka antara golongan yang agak sukar mendapat akses khususnya berkenaan KPDN,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan