KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Hujan lebat berterusan di Pahang mengakibatkan negeri itu kembali dilanda banjir menyaksikan 118 mangsa daripada 31 keluarga ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuantan dan Maran setakat 4.30 petang.
Menurut aplikasi InfoBencana JKM, sebanyak 52 mangsa daripada 14 keluarga ditempatkan di tujuh PPS di Kuantan, manakala 66 penduduk daripada 17 keluarga berlindung di sebuah PPS di Maran.
Laman web Jabatan Pengairan dan Saliran pula menunjukkan bacaan paras air di stesen Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan melebihi paras bahaya.
Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir menurun kepada 212 orang daripada 58 keluarga setakat 5 petang ini, berbanding 460 orang daripada 141 keluarga pagi tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu kesemua mangsa dari daerah Kemaman ditempatkan di tujuh PPS, iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih, Dewan Sivik Air Putih, Dewan Orang Ramai Kampung Seberang Tayur Hulu, dan Dewan Ketengah Dandong.
PPS lain ialah Masjid Kampung Batu 16 Tebak, dan Pusat Pemindahan Kampung Pasir Gajah, serta Dewan Orang Ramai Batu 14.
Sementara itu, di daerah Hulu Terengganu kesemua empat PPS telah ditutup tengah hari tadi selepas semua mangsa dibenarkan pulang berikutan keadaan cuaca yang semakin baik.
Di SARAWAK, JPBN Sarawak memaklumkan situasi banjir semakin pulih dengan hanya satu PPS masih aktif di Miri.
Menurut kenyataan JPBN, PPS SK Suai Niah telah ditutup pada 11.30 pagi tadi.
Dengan penutupan itu, PPS yang masih beroperasi ialah PPS Bulan Sabit Merah yang menempatkan enam mangsa daripada dua keluarga yang terjejas akibat tanah runtuh.
-- BERNAMA
