JOHOR BAHRU, 17 Dis (Bernama) -- Kalendar 2025 Johor menyaksikan negeri ini berdepan beberapa episod luar jangka yang memberi impak langsung kepada penduduk iaitu gempa bumi dan pencemaran sungai, sekali gus menguji kemampuan serta kesiapsiagaan kerajaan negeri dalam menghadapi risiko bencana pada masa akan datang.
Johor yang sebelum ini dianggap zon bebas gempa, menjadi tumpuan negara apabila beberapa siri gegaran melanda Segamat dan Batu Pahat pada penghujung Ogos hingga November lepas.
Siri gegaran itu bermula pada 24 Ogos ketika penduduk Segamat dikejutkan dengan gegaran berukuran 4.1 magnitud pada 6.13 pagi, disusuli satu lagi gegaran kecil berukuran 2.8 magnitud pada waktu sama manakala sembilan lagi gegaran lemah direkodkan pada Ogos, September dan November.
Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mendapati gegaran berkenaan antara lain membuktikan kewujudan sejarah aktiviti gunung berapi purba di Segamat, khususnya di sekitar Jementah dan Batu Badak.
Fenomena itu berlaku kerana kawasan berkenaan terletak dalam zon volkanik purba Tertier, iaitu kawasan yang pernah mengalami aktiviti gunung berapi berjuta-juta tahun lepas.
Setakat September, sekurang-kurangnya RM550,000 diperlukan untuk membaik pulih 15 bangunan kerajaan yang mengalami kerosakan kecil akibat gegaran termasuk lima sekolah, kuarters polis Daerah Segamat, Hospital Segamat, Klinik Kesihatan Bandar Putra, Kolej Komuniti Segamat dan beberapa kuarters kerajaan.
Bagi memperkukuh sistem pemantauan gempa bumi, Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM3 juta bagi pembinaan dua stesen seismologi tambahan (weak motion) di Johor.
Pada masa sama, Johor turut “diuji” dengan insiden pencemaran Sungai Johor pada 31 Okt lepas, yang disifatkan sebagai terburuk dalam sejarah negeri, menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai dan Pontian hingga menjejaskan hampir 1.17 juta penduduk.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengesahkan pencemaran berbentuk “lumpur” itu berpunca daripada kolam takungan sedimen (bund silt pond) milik sebuah syarikat tempatan yang menjalankan aktiviti pengorekan pasir di hulu Sungai Johor, Kota Tinggi, yang pecah hingga menyebabkan sedimen mengalir ke sungai berkenaan.
Lebih 150 nelayan serta komuniti Orang Asli turut terjejas apabila paras kekeruhan air mentah di Lembangan Sungai Johor meningkat secara luar biasa kepada 37,400 Nephelometric Turbidity Unit (NTU), berbanding paras normal sekitar 400 NTU.
Susulan itu, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan rebat 15 peratus bagi bil air Oktober kepada 292,158 akaun pengguna terjejas, merangkumi kategori domestik, rumah ibadat, premis perniagaan dan institusi kebajikan.
Onn Hafiz turut memohon maaf kepada seluruh rakyat Johor atas insiden terbabit yang diakui beliau menjejaskan kelangsungan hidup penduduk serta operasi sekolah, hospital dan perniagaan, di samping menegaskan pihak bertanggungjawab akan dikenakan tindakan sewajarnya.
-- BERNAMA
